GHANI berkata semangat 'Fair Play' yang ditunjukkan pemain JDT perlu dicontohi semua Liga-M terutama ketika negara sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Ihsan MFL
GHANI berkata semangat 'Fair Play' yang ditunjukkan pemain JDT perlu dicontohi semua Liga-M terutama ketika negara sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Ihsan MFL
Firdaus Hashim


PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) seharusnya menggalakkan dan mencontohi apa yang dilakukan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pasukan UKM FC apabila pemain kelab itu sanggup berkorban dalam menangani isu kewangan angkara wabak Covid-19.

Menerusi semangat tindakan murni pemain dan pegawai kedua-dua kelab, mereka berjaya mencapai kata sepakat dengan memotong sebanyak 33 peratus bagi pemain skuad Harimau Selatan manakala 15-20 peratus oleh anggota skuad UKM FC.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, semangat 'Fair Play' yang ditunjukkan pemain JDT perlu dicontohi oleh semua pemain Liga Malaysia (Liga-M) terutama ketika negara sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketiadaan upaya untuk menjana pendapatan daripada jualan tiket oleh pasukan Liga-M susulan penangguhan liga ekoran arahan PKP bermula 18 Mac hingga 14 April ini pasti memberi kesan besar terhadap kantung pasukan yang tetap terpaksa membayar gaji pemain.

Namun masalah berkenaan boleh diatasi sekiranya semua ahli PFAM memahami situasi semasa yang menyerang negara dengan membuka pintu rundingan seluas-luasnya bersama majikan masing-masing.

“Inilah semangat 'Fair Play' yang tersemai di mana tindakan pemotongan gaji itu juga dilihat sebagai langkah penjimatan untuk seluruh warga JDT membantu kewangan kelab yang pastinya turut menerima tempias.

“Jelas pendekatan pihak pengurusan JDT yang mengadakan perbincangan bersama pemain, jurulatih dan kakitangan mereka membuahkan kata sepakat untuk mengharungi detik sukar bersama.

“MFL berharap supaya semangat ini akan dapat diterjemahkan juga oleh pasukan-pasukan dan pemain-pemain lain dalam Liga-M demi untuk kebaikan semua," katanya.

Sebelum ini, MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta semua pasukan dan pemain duduk berbincang bagi mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah kewangan pasukan yang tidak mampu membayar gaji pemain susulan penundaan liga ekoran wabak Covid-19.

Bagaimanapun, PFAM 'menentang' cadangan itu apabila meminta semua pihak terutamanya majikan supaya menghormati kontrak pemain.

Ujar Ghani lagi, nasihat untuk melakukan rundingan itu sebenarnya adalah langkah yang disarankan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas mengambil kira pelbagai faktor dan impak bagi memjamin kelangsungan liga sesebuah negara.

“MFL amat mengalu-alukan pendekatan ini (perbincangan) dan ia juga selari dengan seruan AFC yang mahu pemegang taruh bola sepak Malaysia agar mengintai jalan dalam usaha menangani masalah kewangan kelab disebabkan wabak ini.

“Ini kerana ketiadaan upaya untuk menjana pendapatan daripada jualan tiket, penajaan atau sokongan daripada pihak kerajaan, kestabilan kewangan pasukan pasti terjejas apabila Liga-M ditangguhkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 7:05 PM