Ole Gunnar Solskjaer (kiri) memberi arahan kepada pemain United. FOTO File Reuters
Ole Gunnar Solskjaer (kiri) memberi arahan kepada pemain United. FOTO File Reuters
AFP

OLE Gunnar Solskjaer sentiasa berhubung dengan barisan bintang Manchester United ketika mereka berhadapan situasi kawalan pergerakan berikutan penularan Covid-19.

Saingan Liga Perdana Inggeris ditunda sehingga sekurang-kurangnya pada 30 April kerana pandemik itu dan ia menjadi kerisauan apabila musim ini mungkin ditangguh lebih panjang apabila pemegang taruh bola sepak Inggeris mengadakan pertemuan serta membincangkan krisis berkenaan pada Jumaat ini.

Sepanjang tempoh kawalan pergerakan di Britain secara langsung Solskjaer pengurus United tidak dapat melatih skuadnya secara berdepan.

Namun dia kerap menghubungi pemain dan staf menerusi telefon dalam usaha memastikan mereka bersedia, jika dan bila perlawanan boleh diteruskan.

“Sudah tentu, saya sudah terbiasa melihat mereka setiap hari untuk berjam jam, jadi ia agak berbeza,” kata Solskjaer kepada laman web United.

“Saya masih berhubung dengan mereka menerusi WhatsApp kumpulan dan pesanan ringkas, malah kami merancang apa sahaja apabila kembali dan sesi latihan bagaimana apabila bermula nanti.

“Namun ia masih belum diketahui dan kami sendiri sukar menggambarkannya malah tidak pasti 100 peratus bila ia akan kembali bermula.

“Inilah perkara yang baik buat masa sekarang dengan teknologi dan kami bertuah atas perkara itu.

“Kami boleh berhubung dan melihat antara satu sama lain, menghantar pesanan ringkas dan memberi maklum balas dengan pantas.

“Malah kadang kala kami boleh menggunakan cara lama berhubung melalui telefon dan bercakap hanya menerusi telefon untuk terus berhubung secara kerap.

Ketika ini, Solskjaer gembira meluangkan masa bersama keluarganya sehingga United dapat beraksi semula.

“Saya baik. Keluarga juga dalam keadaan baik. Salah satu penurunan dalam bola sepak adalah anda tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga dan ia berubah kini anda dapat meluangkan lebih masa bersama mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 8:04 AM