Ruben Loftus-Cheek. FOTO File Agensi
Ruben Loftus-Cheek. FOTO File Agensi
AFP

PEMAIN tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek mengakui tempoh bertarung untuk pulih daripada kecederaan pergelangan kaki dan sakit belakang satu pengalaman yang cukup perit.

Loftus-Cheek disisihkan sejak kecederaan pergelangan kaki ketika aksi persahabatan membabitkan Chelsea dan New England Revolution di Boston pada Mei tahun lalu.

Pemain kebangsaan England berusia 24 tahun itu sudah bersedia untuk kembali beraksi sebelum Liga Perdana Inggeris ditangguhkan awal bulan lalu akibat pandemik Covid-19.

Dalam video Instagram membincangkan perjalanan panjang untuk kembali, Loftus-Cheek berkata sentiasa berfikiran positif membantunya menanam keazaman tinggi untuk pulih daripada kecederaan itu.

“Penampilan fizikal saya, tenaga yang saya ada, adalah kekuatan terbesar saya.

“Namun badan saya juga adalah kelemahan saya, dan ia perkara paling penting untuk saya tingkatkan.

“Saya harus bekerja dengan bijak, bekerja keras tapi pada masa sama mengikut kemampuan badan.

“Waspada dalam perjalanan dan beri perhatian. Sisi mental apabila cedera juga memeritkan.

“Mengharungi saat sukar ini akan menjadikan pemain lebih kuat dan baik.

“Tetapi perkara paling sukar dalam tempoh kecederaan adalah menjadi penonton perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 8:45 AM