Kerja pengubahsuaian sedang dilakukan di StadiumMaracana di Rio de Janeiro, Brazil. FOTO Reuters
Kerja pengubahsuaian sedang dilakukan di StadiumMaracana di Rio de Janeiro, Brazil. FOTO Reuters
Reuters

BEBERAPA lori pengangkutan dan tenaga buruh kelihatan berada di Stadium Maracana yang terkenal di Rio de Janeiro semalam untuk memulakan pembinaan ruang hospital bagi menampung pesakit Covid-19.

Kemudahan yang dibina dikelilingi ruang letak kereta stadium dengan kapasiti 80,000 itu akan menempatkan 400 katil dan menjadi antara lapan kemudahan sementara yang dibina sekitar Rio de Janeiro untuk membantu menempatkan pesakit terdedah dengan wabak berkenaan.

Maracana adalah salah satu daripada beberapa stadium bola sepak yang digunakan di Brazil ketika negara Amerika Selatan itu bertarung memerangi virus itu.

Stadium Pacaembu di Sao Paulo sudah memulakan pembinaan untuk dijadikan hospital di mana gelanggang bagi Corinthians dan Santos sering beraksi serta Stadium National di Brasilia turut digunakan sepenuhnya.

Jurucakapnya berkata mereka merancang menjaga permukaan padang Stadium Maracana dengan melakukan pembinaan berhampiran kawasan itu termasuk membabitkan trek olahraga.

Lokasi berkenaan akan dilengkapi katil serta pusat logistik dan stor kelengkapan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hari.

Rio menjadi bandar kedua tertinggi bagi kes Covid-19 di Brazil selepas Sao Paulo, dengan 18 kematian direkodkan oleh Kementerian Kesihatan kelmarin.

Maracana adalah antara stadium bola sepak popular di dunia, tuan rumah final Piala Dunia pada 2014 dan vanue bagi acara perasmian serta penutup Sukan Olimpik dua tahun kemudian.

Ramai di kalangan pemain terbaik Brazil beraksi di stadium berkenaan antaranya, Pele, Garrincha, Zico dan Socrates.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 9:52 AM