BARISAN pemain Atalanta meraikan kemenangan ke atas Valencia pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara di San Siro, 19 Februari lalu. FOTO Reuters
BARISAN pemain Atalanta meraikan kemenangan ke atas Valencia pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara di San Siro, 19 Februari lalu. FOTO Reuters
Agensi

PADA petang 19 Februari, Andrea Pontiggia menuju ke Bergamo, Itali untuk menyaksikan perlawanan bola sepak terbesar sepanjang hidupnya bersama-sama 40,000 penyokong setia Atalanta yang lain.

Ketika itu, pandemik Covid-19 yang sudah mula menular di Itali, adalah perkara yang langsung tidak difikirkan oleh mereka.

Perlawanan itu Liga Juara-Juara itu menyaksikan Atalanta, kelab berasal dari bandar Bergamo menewaskan wakil Sepanyol, Valencia, 4-1 dan disaksikan sekitar 44,000 penonton dengan majoritinya adalah peminat setia Atalanta.

Datuk Bandar Bergamo, Giorgio Gori dan seorang ketua unit rawatan rapi kedua-duanya mempunyai pendapat antara satu sama lain berhubung punca penyebaran wabak di wilayah Lombardy, salah satu lokasi paling terjejas teruk di dunia akibat Covid-19.

Bergamo adalah bandar yang didiami sekitar 120,000 penduduk, kira-kira 35 batu dari Milan.

Lebih 13,000 orang maut akibat Covid-19 dan lebih 110,000 dijangkiti wabak itu setakat ini. Lebih banyak kematian berlaku di Lombardy.

“Saya pasti 40,000 orang yang berpeluk dan berciuman antara satu sama lain dalam jarak satu sentimeter melakukannya sebanyak empat kali ketika itu kerana Atalanta menjaringkan empat gol.

“Itulah yang menjadi antara punca utama penularan wabak ini, kata Luca Lorini, ketua unit rawatan rapi di Giovanni Hospitali XXII di Bergamo.

“Ketika ini kita sedang berperang. Apabila keadaan kembali tenang sedikit, saya beri jaminan kepada anda bahawa kita akan menyaksikan berapa ramai daripada 40,000 orang yang menyaksikan perlawanan itu akan dijangkiti. Ketika ini kami mempunyai keutamaan yang lain,” katanya.

Orang ramai di Bergamo yang tidak menyaksikan perlawanan di stadium dan turut memenuhi bar dan restoran untuk menyaksikan perlawanan itu, kemungkinan besar juga menjadi punca kepada penularan Covid-19.

“Jika benar apa yang diperkatakan bahawa virus itu sudah pun merebak di Eropah sejak Januari, maka ada kemungkinan juga 40,000 penonton Stadium San Siro ketika itu saling dijangkiti virus itu antara satu sama lain,” kata Datuk Bandar Bergamo, Giorgio Gori.

“Selain itu, orang ramai juga berkumpul di rumah dan bar untuk menyaksikan perlawanan itu,” katanya.

Sejak perlawanan itu, lebih satu pertiga daripada skuad Valencia didapati positif Covid-19. Penjaga gol Atalanta, Marco Sportiello pula menjadi pemain pertama kelab itu disahkan dijangkiti wabak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 12:07 AM