Stuart Ramalingam. FOTO NSTP
Stuart Ramalingam. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil pendekatan memotong gaji pekerjanya di antara 10-20 peratus, bergantung kepada gaji masing-masing sepanjang tempoh krisis Covid-19.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pemotongan itu akan dilaksanakan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini dilanjutkan oleh kerajaan.

“Urus setia Agung FAM membuat penilaian dengan hati-hati dan pemahaman yang teliti terhadap impak wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada seluruh negara dan juga industri bola sepak tempatan sejurus kita memasuki tempoh kedua PKP selepas 31 Mac lalu.

“Justeru beberapa langkah penjimatan perlu dilaksanakan termasuk mengenakan potongan gaji sepanjang krisis ini andai PKP dilanjutkan.

“Ini dipersetujui oleh kakitangan pentadbiran dan teknikal FAM sebagai usaha memastikan kestabilan kewangan FAM dalam menempuh saat-saat sukar ini.

"Keputusan ini dicapai menerusi rundingan atas semangat perbincangan dengan niat yang murni dalam tempoh sukar ini," katanya.

Tambah Stuart, keputusan itu adalah langkah terakhir yang dibuat selepas mengkaji pelbagai aspek dengan Exco FAM dan pengurusan atasan sejak wabak Covid-19 memaksa semua saingan bola sepak tempatan ditangguhkan.

"Seboleh-bolehnya kami ingin mengelak daripada mengambil pendekatan ini tetapi mengambil kira keadaan yang tidak menentu, keputusan ini diambil demi kepentingan semua, termasuk kepentingan FAM selaku satu organisasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 3:09 PM