Azeem Mohd Fahmi.
Azeem Mohd Fahmi.
Aida Adilah Mat


BERSEDIALAH menghadapi jadual yang padat dan apa saja kemungkinan tahun depan kesan daripada penularan wabak Covid-19.

Itu nasihat jurulatih kepada Usain Bolt Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah ketika mengulas mengenai penyertaan atlet itu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) yang terpaksa ditunda ke satu tarikh belum diputuskan.

Tapi secara peribadi Amir berharap penganjur Sukma Johor akan menganjurkan temasya itu tahun hadapan biarpun umum mengetahui penganjuran dua temasya besar iaitu Olimpik dan Sukan Sea Vietnam.

“Bagi saya baik Sukma dianjurkan tahun depan. Kita kena bersedia menghadapi musim yang padat kesan daripada Covid-19 ini. Ia bukan sesuatu yang kita minta, tapi kita tiada pilihan. “Saya yakin ada hikmahnya. Azeem ada masa untuk lebih bersedia cuma dia kena kuat dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi jadual yang padat nanti,” katanya.

Malah tegas Amir, 2021 ada tahun yang tepat buat Azeem membuat kemunculan pertama di Sukan Sea sekiranya terpilih selain meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan di kelompok tiga terbaik di Sukma Johor.

Rekod peribadi terbaik pelajar SMK Gunung Rapat dalam acara 100m adalah 10.57s yang dilakukan di Terbuka Sekolah Sukan Bukit Jalil November tahun lalu manakala 21.04s dalam acara 200m di Perak All Comers awal Februari lalu meletakkan dia dalam kedudukan terbaik untuk meraih pingat di Sukma nanti.

“InsyaAllah Azeem akan cuba yang terbaik dan dengan prestasinya sekarang ini mungkin dia tidak menghadapi masalah untuk berada dalam kelompok tiga terbaik.

“Bagaimanapun saya tidak berani jamin emas kerana setiap jurulatih negeri mahukan anak didik mereka menang dan masing-masing ada senjata rahsia.

“Tapi seperti yang saya selalu cakap kepadanya, buat yang terbaik dan InsyaAllah keputusan itu akan datang,” katanya.

Azeem pernah menggegarkan arena olahraga apabila menjadi pelari remaja terpantas dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun dalam acara 200m dengan catatan 21.24s yang dilakukan Mei tahun lalu di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:01 AM