AYUB menegaskan PABM akan mengambil tindakan denda atau menggantung atlet dan persatuan negeri terbabit doping. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
AYUB menegaskan PABM akan mengambil tindakan denda atau menggantung atlet dan persatuan negeri terbabit doping. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
Syazwan Msar


PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) mengambil tindakan lebih tegas apabila akan menghukum atlet dan persatuan negeri yang didapati gagal dalam ujian doping.

Presidennya Datuk Ayub Rahmat berkata, PABM akan mengambil tindakan denda atau menggantung atlet dan persatuan negeri bagi memastikan masalah ini dapat ditangani segera.

Beliau berkata, keputusan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) itu sememangnya akan memberi impak negatif terutama membabitkan persepsi dan program pembangunan akar umbi namun perkara itu harus diterima dalam membendung penyalahgunaan bahan terlarang di kalangan atlet.

“Menerusi sesi pendengaran dan siasatan Dalam pada 6 Mac lalu menerusi Skype oleh sebuah Jawatankuasa Panel Bebas yang dilantik oleh IWF, PABM menerima keputusan berkenaan berdasarkan keputusan ujian doping beberapa atlet.

“PABM digantung dari menyertai sebarang aktiviti IWF selama satu tahun bermula 1 April lalu selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak boleh menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran badan induk antarabangsa itu selama 5 bulan sehingga 1 September 2020.

“Selain itu, semua atlet angkat berat Malaysia tidak dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya, di sini.

Selain itu, beliau berkata, PABM turut didenda sebanyak AS$25 600(RM100,000) namun sudah menyelesaikannya pada September tahun lalu.

“PABM akan mengkaji untuk menghantar rayuan atau sebaliknya berdasarkan implikasi terhadap keputusan, kewangan dan masa,” katanya.

Sebelum itu, IWF dalam satu kenyataan berkata, atlet daripada Malaysia dan Thailand tidak akan mengambil bahagian di Olimpik Tokyo tanpa mengira sebarang perubahan tarikh.

Keputusan itu berikutan kedua-dua negara terbabit mencatatkan jumlah kes doping paling tinggi hingga mendorong badan induk antarabangsa sukan itu mengambil tindakan tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 3:17 PM