GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
AFP

DUA pemain ragbi Fiji ditahan kerana melanggar arahan peraturan pengasingan diri berikutan pandemik Covid-19 dengan pihak berkuasa tempatan berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu akan dilaporkan kepada badan induk ragbi dunia.

Identiti kedua-dua pemain itu tidak didedahkan tetapi Kesatuan Ragbi Fiji mengesahkan mereka adalah pemain profesional dan media melaporkan ia membabitkan pemain ragbi tujuh sebelah dan berstatus pemain antarabangsa.

Fiji adalah pemenang pingat emas ragbi tujuh sebelah di Sukan Olimpik dan ketika ini menduduki ranking ketiga dalam siri dunia sebelum ia ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Frank Bainimarama mendakwa barisan pemain itu meletakkan seluruh Fiji dalam situasi berisiko tinggi.

Katanya salah seorang pemain yang tiba dari Singapura mempunyai risiko untuk terdedah kepada virus itu ketika di luar negara dan kemudian melarikan diri dari tempoh kuarantin di sebuah hospital di Fiji.

“Nasibnya tidak baik kerana dia gagal melepasi anggota polis Fiji. Dia ditahan dan kini dikuarantin di Hospital Nadi,” kata Bainimarama.

Kesatuan Ragbi Fiji akan mengambil tindakan disiplin ke atas pemain profesional itu termasuk melaporkan kelakuan tidak bertanggungjawab itu kepada kelab dan Ragbi Dunia,” kata ketua eksekutif, John O’Connor.

“Kami ingin menyatakan kekecewaan atas sikap tidak bertanggungjawab kedua-dua pemain itu yang meletakkan keluarga mereka serta rakyat Fiji yang lain berdepan risiko tinggi.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab itu sememangnya sukar untuk diterima. Kami menyokong tindakan polis menahan kedua-dua pemain itu serta apa juga tindakan lanjut ke atas mereka selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 9:57 PM