PASUKAN yang tidak mendapat bantuan Kerajaan Negeri berisiko besar alami masalah kewangan jika PKP disambung.
PASUKAN yang tidak mendapat bantuan Kerajaan Negeri berisiko besar alami masalah kewangan jika PKP disambung.
Firdaus Hashim

PASUKAN Liga Malaysia (Liga M) terutama kelab kecil dijangka berdepan masalah aliran tunai dengan kemungkinan terpaksa ‘tutup kedai’ lebih awal susulan penangguhan saingan liga tempatan ketika ini.

Malah, risiko itu dilihat akan bertambah parah sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi oleh Kerajaan Malaysia yang sepatutnya berakhir pada 14 April ini.

Kebimbangan itu bukan sesuatu yang mustahil di mana ia boleh berlaku seperti mana beberapa kelab luar negara yang sudah ‘gulung tikar’ ekoran wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Kelab Zilina di Slovakia antara contoh pertama dibubarkan sepanjang penularan Covid-19 dengan Liga Australia juga turut berdepan senario sama apabila sekurang-kurangnya lima kelab berdepan masalah aliran tunai.

Antaranya Western Sydney Wanderers, Newcastle Jets, Adelaide United, Central Coast Mariners dan Perth Glory yang terpaksa menamatkan kontrak pemain dan kakitangan susulan krisis ini.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim, beliau menjangkakan pasukan kecil yang tidak mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri dilihat lebih berisiko mengalami masalah kewangan seandainya PKP dilanjutkan lagi.

“Sedangkan semasa liga berlangsung dan tidak dihentikan kerana Covid-19 pun banyak kelab kecil dan besar masih gagal menunaikan amanah membayar gaji pemain dan pegawai, inikan pula semasa liga ditangguhkan kini.

“Saya bimbang banyak syarikat swasta dan konglomerat terjejas oleh Covid-19 ini. Maka saya percaya akan ada penaja yang menarik diri daripada menaja pasukan kecil dan besar di liga kita. Justeru, pasti akan ada pasukan yang terjejas dari segi kewangan,” katanya kepada Arena Metro.

Tambahnya lagi, bantuan kewangan yang akan disalurkan Persekutuan Bolasepak Antarbangsa (FIFA) kepada semua negara adalah langkah tepat dalam membantu meringankan beban kelab.

Lantas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus merangka pelan menyeluruh bagi memastikan liga domestik tidak lumpuh sepenuhnya.

“Sehubungan itu pihak berkuasa bola sepak negara perlu mengambil langkah proaktif membantu menyelamatkan pasukan demi kelangsungan liga kita. Di samping itu kelab-kelab sendiri serta semua yang terbabit perlu berganding bahu mencari jalan menyelesaikan kemelut ini. Jika boleh mewujudkan situasi menang-menang dan yang paling utama kelangsungan liga kita terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:01 AM