KIPRE terpaksa melupakan Liga-M buat seketika namun tahap kecergasan tetap dititiberatkan ketika tempoh PKP. FOTO AMRAN HAMID
KIPRE terpaksa melupakan Liga-M buat seketika namun tahap kecergasan tetap dititiberatkan ketika tempoh PKP. FOTO AMRAN HAMID
Izzali Ismail


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilalui negara kini adalah tempoh yang sangat penting bagi semua pihak mematuhinya dalam usaha untuk memerangi pandemik Covid-19 yang sedang menular di seluruh dunia.

Bagi penyerang import Kedah kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche, tempoh PKP yang memerlukan semua kekal dirumah bagi mengelak wabak ini mengingatkan kembali suasana peperangan yang pernah dialami di negaranya sekitar tahun 2010 lalu.

“Saya pernah merasai suasana duduk di rumah ketika negara saya mengalami perang saudara yang tercetus pada 2010 lalu akibat krisis politik.

“Kami tidak boleh bergerak bebas dan berasa takut untuk keluar selama beberapa bulan kerana risiko keselamatan.

“Sebagai rakyat kami tiada pilihan selain memikirkan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu berbanding melakukan perkara lain yang terpaksa kami tangguhkan.

“Begitulah keadaan keadaan sekarang apabila kita harus sedar kita mempunyai pilihan untuk kekal selamat di rumah berbanding risiko wabak merbahaya yang sedang melanda dunia kini,” katanya.

Pemain serba licik berusia 32 tahun ini juga berharap suasana kawalan ketat yang dilakukan kerajaan Malaysia kini mampu menghasilkan kejayaan bagi melawan wabak pandemik ini secepat mungkin dan sekali gus mencerahkan peluang untuk Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung.

“Saya seperti anda tetap tidak sabar untuk kembali ke Liga M seperti sediakala, namun buat masa ini kita berlu banyak bersabar dan menghargai masa untuk memanfaatkan bersama keluarga dan orang tersayang terlebih dahulu.

“Dalam masa yang sama saya menetapkan jadual latihan kecergasan saya dua kali sehari bermula disebelah awal pagi dan juga di waktu petang.

“Saya berdoa agar semua pihak dan penyokong bola sepak Malaysia kekal sihat dan dijauhi segala ancaman bahaya wabak ini dan semoga kita dapat berjumpa kembali dalam Liga M nanti selepas dibuka semula nanti.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 3:41 PM