OMIROK (kiri) memantau anak buahnya menjalani latihan di Maebashi. FOTO AFP
OMIROK (kiri) memantau anak buahnya menjalani latihan di Maebashi. FOTO AFP
AFP

PENANGGUHAN Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi tamparan hebat kepada kebanyakan atlet tetapi memberi ‘rahmat’ kepada atlet pecut Sudan Selatan yang sedang berlatih di Jepun.

Empat atlet dan jurulatih mereka kini berada di bandar Maebashi, utara Tokyo sejak November lalu memanfaatkan kemudahan latihan lengkap yang tidak ada di negara mereka yang miskin.

Dengan penangguhan bersejarah temasya itu susulan wabak Covid-19, mereka bercadang kekal sekurang-kurangnya sehingga Julai dengan harapan dapat mempertingkatkan kemahiran.

"Olimpik Tokyo ditangguhkan, ia bukan masalah,” kata jurulatih pasukan, Rensio Tobia Omirok, 59, kepada AFP.

"Saya gembira kerana kami masih dapat berlatih. Di negara lain mereka tidak berlatih. Mereka hanya duduk di rumah tetapi di sini kami OK. Berlatih tiada masalah .”

Keputusan menunda temasya itu selama setahun sehingga Julai 2010 dicapai selepas atlet dan persatuan sukan menggesa penganjur dan pegawai Olimpik membatalkan acara kelayakan selain membataskan sesi latihan mereka.

Jepun setakat ini berjaya membendung penularan wabak yang lebih serius seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

Walaupun perintah berkurung dilaksanakan pada Selasa lalu, ia hanya terhad kepada sesetengah tempat tidak termasuk Gunma yang terletak bandar Maebashi.

Bandar berpenduduk 340,000 orang itu membantu atlet muda dengan menyediakan kemudahan penginapan, makanan dan penggunaan trek awam selain jurulatih sukarela dan penterjemah.

Maebashi menjadi tuan rumah kepada pasukan -- jurulatih, seorang atlet wanita, dua atlet lelaki Olimpik dan seorang atlet pecut Paralimpik sebagai usaha mempromosikan keamanan menerusi sukan.

Atlet terbabit melawat sekolah dan menerangkan kepada masyarakat setempat mengenai negara mereka yang berpemerintahan sendiri pada 2011 dan bergelut memajukan negara itu selepas tamat perang saudara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 11:27 AM