CARLOS (kiri) berentap dengan Messi. FOTO Agensi
CARLOS (kiri) berentap dengan Messi. FOTO Agensi
Agensi

LIVERPOOL kini gigih mengukuhkan peluang mereka untuk mendapatkan pemain pertahanan tengah Sevilla, Diego Carlos.

Akhbar Estadio Deportivo melaporkan pemain Brazil itu kini dalam radar juara Eropah dan pendahulu Liga Perdana.

Diego Carlos berpindah ke Eropah dari Brazil pada 2014 dan mewakili kelab Portugal, Estoril selain kelab FC Porto B sebelum bertukar haluan ke Perancis pada 2016 dan mempamerkan prestasi cemerlang selama tiga musim bersama kelab Ligue 1, Nantes.

Sevilla kemudiannya menandatangani pertahanan tengah dari Nantes itu dengan harga €15 juta (RM70 juta) pada musim panas lalu dan terbabit dalam 31 perlawanan sebelum liga ditangguhkan susulan wabak Covid-19.

Laporan di El Desmarque mengaitkan pemain itu dengan Liverpool sejak Januari lalu apabila prestasinya menarik minat skuad pemantau Anfield dan Real Madrid.

Klausa pembebasannya bersama kelab Andalusia terbabit dilaporkan €75 juta (RM353 juta) tetapi nilai pasarannya menghampiri €40 juta (RM188 juta). Diario Sport melaporkan pemain itu turut menarik minat Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:01 PM