KERAJAAN Malaysia tetap dengan pendirian tidak membenarkan perhimpunan ramai dalam satu-satu masa. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
KERAJAAN Malaysia tetap dengan pendirian tidak membenarkan perhimpunan ramai dalam satu-satu masa. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tampak tiada pilihan lain apabila Kerajaan Malaysia tetap dengan pendirian tidak membenarkan perhimpunan ramai dalam satu-satu masa.

Menerusi sidang media harian mengenai Covid-19 oleh Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob menegaskan sebarang bentuk perhimpunan meskipun kemungkinan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada 14 April ini.

Dengan mengambil contoh Majlis Konvoksyen di Institut Pengajian Tinggi, beliau menjelaskan kerajaan tidak akan membenarkan rakyat berkumpul bagi mengelak wabak pandemik Covid-19 kembali aktif menular.

“Walaupun PKP ditamatkan nanti atau sebaliknya, tetapi rakyat terus perlu mengamalkan SOP (Prosedur Operasi Standard) seperti penjarakkan diri dan mengelak daripada berkumpul di satu-satu tempat dalam bilangan yang ramai.

”Contoh macam Majlis Konvokesyen, kerajaan tak benarkan ia berlangsung kerana ia membabitkan orang ramai berkumpul ramai,” katanya pada sidang media itu semalam.

Sebelum ini, pemerhati bola sepak tempatan yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim beranggapan Liga Malaysia (Liga-M) tetap boleh diteruskan meskipun Kerajaan menggesa masyarakat supaya tidak berhimpun selama enam bulan hingga setahun bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Ujar Dr Zulakbal, antara kaedah yang boleh digunakan ialah dengan mengadakan perlawananan Liga-M tanpa penyokong dan menyiarkannya secara langsung di televisyen mahupun di platform media sosial.

Cadangan itu kemudiannya disambut positif oleh MFL apabila bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk melarang penonton untuk hadir ke stadium dan hanya menyiarkannya di televisyen.

Bagaimanapun, MFL tetap mahu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melihat garis panduan terbaik mengenai larangan perhimpunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 10:51 PM