INFANTINO mahu kelab tunggu sehingga situasi benar-benar selamat sebelum memulakan kembali saingan liga. FOTO Agensi
INFANTINO mahu kelab tunggu sehingga situasi benar-benar selamat sebelum memulakan kembali saingan liga. FOTO Agensi
Agensi

PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino berkata, adalah tidak bertanggungjawab memulakan kembali kejohanan di tengah kemelut pandemik koronavirus.

Sukan di seluruh dunia tergendala susulan wabak Covid-19 yang membunuh 95,500 orang setakat ini.

Bundesliga dijangka bermula Mei ini dengan hampir kebanyakan kelab kembali menjalani latihan tetapi Infantino memberi amaran amat berisiko dan berbahaya dilangsungkan terlalu awal.

"Kesihatan dan keselamatan semua orang menjadi keutamaan kami,” katanya menerusi Royal Spanish Football Federation (RFEF) awal pagi tadi.

"Seperti saya tekankan, ia tidak mencukupi. Tidak berbaloi memperjudikan nyawa manusia untuk sebarang perlawanan, kejohanan atau liga. Semua orang patut jelas perkara ini.

"Menjadi sangat tidak bertanggungjawab memulakan kejohanan jika situasi tidak 100 peratus selamat. Jika anda perlu tunggu lebih lama, anda perlu melakukannya. Itu lebih baik daripada menanggung risiko.”

Banyak badan sukan dan liga seluruh dunia berdepan krisis kewangan angkara Covid-19 terutamanya selepas pembatalan atau berlangsung tanpa penonton.

FIFA dilaporkan mempunyai aset tunai $2.7 bilion yang mampu digunakan sebagai dana kecemasan dan Infantino berkata, badan dunia itu sedia membantu.

"Ini hasil kerjasama keras semua di Fifa selama empat tahun sebelum ini dan kami mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Fifa mempunyai reputasi baik di pasaran kewangan,” katanya.

"Aset ini milik bola sepak. Apabila bola sepak memerlukannya, kami perlu membantu dan ini menjadi tangggungjawab kami. Ini salah satu cara yang saya nampak sebagai Presiden Fifa.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 10:35 AM