TENGKU menjalani latihan di rumah . FOTO ihsan Tengku Ahmad Tajudin
TENGKU menjalani latihan di rumah . FOTO ihsan Tengku Ahmad Tajudin
Mohd Rafi Mamat


RUTIN harian di padang sebelum ini kini terpaksa ditukar dengan latihan kecergasan di rumah selama dua hingga tiga jam sehari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seluruh negara.

Ini ditegaskan penyerang lincah skuad hoki kebangsaan, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil yang berpendapat dalam apa juga keadaan kecergasan perlu sentiasa diberi keutamaan sekiranya individu terbabit sayangkan kerjaya sebagai ahli sukan.

Menurutnya, dia tidak pernah menganggap suatu bebanan serta kesukaran melakukan latihan di rumah terutama sepanjang PKP, berbekalkan displin apa juga aktiviti dapat dilakukan walaupun tanpa pengawasan jurulatih serta pegawai pasukan.

“Tahun ini mungkin pasukan negara tidak dapat bersaing dipentas antarabangsa berikutan wabak Covid-19 yang berlaku di banyak negara namun sebagai pemain tidak bermakna saya boleh berehat panjang tanpa perlu berbuat sesuatu.

“Sebagai pemain profesional kecergasan perlu diberi keutamaan, latihan di padang yang menjadi rutin harian sebelum ini perlu beralih ke rumah. Sejak PKP saya tidak menghadapi masalah berlatih sendirian di rumah.

“Banyak teknik latihan saya lakukan di rumah, selepas bersenam selama dua hingga tiga jam badan tetap bermandikan peluh dan kecergasan tetap terasa,” katanya yang sudah 14 tahun menyarung jersi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Menurutnya lagi, walaupun tidak dapat keluar rumah sejak 18 Mac lalu namun itu tidak menimbulkan banyak masalah pada dirinya, ruang masa yang ada dapat bersama keluarga melakukan aktiviti berfaedah.

Tengku Ahmad Tajudin berkata, tahun lalu dia bersama pasukan menyertai empat kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah, Ipoh Perak yang menyaksikan pasukan negara menduduki tangga ke tiga di belakang Korea Selatan dan India.

“Saya berbangga melihat kesungguhan pihak yang bertugas di barisan hadapan, mereka berkorban masa dan tenaga memikul tanggungjawab mengekang wabak Covid19 dan merawat pengidapnya.

“Tugas kita selaku rakyat untuk membantu mereka menjalankan tanggungjawab untuk terus berada di rumah bagi mematuhi PKP, kalau degil akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya yang berharap masyarakat turut sama melakukan senaman di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 8:34 PM