AZMEER (atas) bersama sepupunya ketika menjual ikan.
AZMEER (atas) bersama sepupunya ketika menjual ikan.
Oleh Syazwan Msar


BIJAK menggunakan masa terluang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membolehkan pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof, mampu menjana sumber pendapatan sampingan dengan berniaga ikan hingga mendatangkan pulangan lumayan kepadanya.

Bermula daripada hanya niat mengeluarkan modal bagi membantu sepupu, Azmeer turut sama meluangkan masa menjual produk laut itu apabila dia tidak boleh menjalani latihan selepas saingan Liga Malaysia ditunda.

Sebelum PKP terjadi, Azmeer hanya mahu membantu sepupunya yang mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjalankan perniagaan pembersihan sampah namun ekoran tempoh PKP, sepupunya yang bernama Hazali Hamid, tidak dapat memulakan perniagaan itu dan selepas melakukan perbincangan bersama mereka berdua mencapai kata sepakat menjalankan perniagaan menjual ikan.

“Saya dengan sepupu cukup rapat sejak kecil kerana dia banyak membantu perkembangan karier saya sejak aktif bermain bola sepak. Sebagai membalas budinya yang tidak jemu menyokong karier saya, saya belikan lori dan tiga tong sampah sebagai permulaan perniagaan pembersihan sampah.”

“Bermula daripada 500 kilogram pengambilan, kami boleh menjual sehingga 1.2 tan ke 1.3 tan sehari di sekitar Kuala Lumpur,” katanya, di sini.

Azmeer antara pemain berpengalaman di posisi pertahanan kiri Liga Malaysia serta pernah bermain dengan banyak pasukan seperti Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta Kedah.

Menurut Azmeer, dia tidak berhasrat meneruskan perniagaan ikan untuk jangka masa panjang kerana sudah ada cita-cita tersendiri dalam menubuhkan syarikat pembersihan sampah selepas bersara daripada dunia bola sepak.

“Mungkin selepas PKP berakhir, kami akan serahkan perniagaan ini kepada sepupu lain yang telah menyuarakan minat untuk mengambil alih manakala Hazali akan kembali fokus kepada perniagaan pengurusan pembersihan sampah,” katanya.

Azmeer juga menggesa pemain lain supaya boleh ikhtiarkan sesuatu dalam mencari pendapatan sampingan memandangkan banyak pasukan dijangka akan ambil langkah pemotongan/penangguhan gaji tempoh PKP ini.

“Bagi tempoh ini, saya rasa pemain kena fikirkan cara terbaik menjana kewangan senditi terutama melalui berniaga kerana sepanjang PKP ini, semua pasukan pasti terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 6:00 AM