TOUR de France yang berlangsung tahun lalu. FOTO AFP
TOUR de France yang berlangsung tahun lalu. FOTO AFP
AFP

TOUR de France bukan sahaja kejohanan tersohor di Perancis tetapi menjadi sumber ekonomi pelumba basikal profesional dan ia bakal menerima kesan besar sekiranya dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Satu pengumuman dijangka akan dilakukan pada minggu ini sama ada menangguhkan atau membatalkan kejohanan selama 21 hari itu yang setakat ini dijadual berlangsung di Nice bermula 27 Jun.

“Pembatalan akan menyaksikan masalah ekonomi dihadapi di dalam sektor basikal,” kata Jean-Francois Mignot dari Pusat Kebangsaan Kajian Saintifik Perancis yang menulis buku ‘Sejarah Tour de France’.

Mengekalkan tarikh asal dilihat mustahil selepas pengumuman Presiden Perancis, Emmanuel Macron bahawa acara awam berskala besar tidak dibenarkan untuk dianjurkan sehinggalah sekurang-kurangnya pertengahan Julai.

Perancis sudah melalui perintah berkurung sejak 17 Mac dan hampir 15,000 penduduknya meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Kebiasaannya lebih 12 juta peminat acara dua roda itu akan memenuhi sepanjang tepi jalan untuk menyaksikan pelumba mereka beraksi merentasi kampung, bandar dan ibu kota sepanjang tiga minggu di musim panas.

“Perkiraannya mudah, jika jelajah ini tidak dilangsungkan, pasukan akan menghilang manakala pelumba dan kakitangan akan kehilangan pekerjaan,” kata Marc Madiot, ketua bagi pasukan ternama Perancis, Groupama-FDJ.

Bajet bagi pasukannya dianggarkan sekitar 20 juta euro (RM94 juta) setahun dan mendapat tajaan dari syarikat nombor ramalan serta insurans tempatan.

Penganjur Tour de France, Amaury Sport Organisation (ASO), menawarkan hadiah keseluruhan 2.3 juta euro (RM10.8 juta) pada edisi tahun lalu yang dimenangi oleh pelumba Ineos, Egan Bernal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 7:49 AM