SERIE A dijadual bersambung semula pada 9 Mei. FOTO AFP
SERIE A dijadual bersambung semula pada 9 Mei. FOTO AFP
AFP

SEORANG doktor terkemuka di Itali yang pakar dalam penyakit berjangkit tidak bersetuju sekiranya saingan Serie A bersambung semula pada bulan depan.

Aksi bola sepak di negara itu yang kini merekodkan 20,000 kematian akibat pandemik Covid-19, ditangguhkan sehingga 9 Mei.

Menurut laporan media tempatan, aksi liga mungkin akan disambung semula bulan depan dengan pemain kembali menjalani latihan bermula 4 Mei.

“Jika ditanya pendapat saya, tarikh itu tidak sesuai. Apapun, sudah tentu ia akan ditentukan oleh orang politik,” kata Giovanni Rezza, ketua penyakit berjangkit di Pusat Perubatan Nasional Itali.

“Saya difahamkan beberapa individu mencadangkan pemerhatian yang lebih ketat dilakukan dengan pemain perlu menjalani ujian setiap hari. Bagi saya, ia adalah teori yang tidak sesuai.

“Apapun orang politik akan membuat keputusan. Bola sepak adalah sukan yang membabitkan sentuhan dan ia mungkin berisiko untuk memindahkan wabak itu ke individu lain,” katanya.

Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi membincangkan protokal sepatutnya untuk pemain ketika menjalani latihan dengan perintah berkurung di negara itu dipanjangkan sehingga 3 Mei.

“Saya berharap ia akan bersambung semula pada Mei dengan ujian dilakukan bagi memastikan pemain negatif Covid-19 dan latihan boleh dilangsungkan semula,” kata Presiden FIGC, Gabriele Gravina kepada Sky Sport.

Komen Rezza mendapat pelbagai reaksi dengan Presiden Torino, Urbano Cairo berkata, adalah tidak masuk akal memikirkan untuk menyambung semula aksi liga sebelum hujung Mei.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 9:19 AM