KEDAH dikatakan antara empat pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO Bernama
KEDAH dikatakan antara empat pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji. FOTO Bernama
Izzali Ismail


KELAB Penyokong Bolasepak Kedah memandang serius isu tunggakan gaji pasukan Kedah seperti dimaklumkan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman sosial Johor Southern Tigers semalam.

Kedah dikatakan antara empat pasukan selain Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang yang perlu menyelesaikan terlebih dahulu hutang dengan pemain sebelum membuat keputusan memotong gaji ekoran kesan pandemik Covid-19.

Jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) yang mewakili 23 kelab penyokong Kedah, Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, ketika semua pasukan sedang terkesan dengan pandemik melanda negara dan dunia ketika ini, berita pasukan berhutang dengan pemain akan menambahkan lagi kesulitan.

“Jika benar terdapat tunggakan gaji melibatkan dua hingga tiga bulan seperti yang dinyatakan, maka ini satu perkara yang akan menambah kesulitan pasukan dan ini memberi kejutan kepada kami sebagai penyokong setia Kedah.

“Agak mengejutkan juga kerana pihak luar lebih cepat mengetahui keadaan semasa dalam pasukan dan kami amat berharap perkara ini dipandang serius oleh KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) untuk menjaga imej serta reputasi pasukan yang pernah membawa banyak kejayaan di Liga Malaysia,” katanya.

Safarizal berharap semua pasukan yang dinyatakan terbabit isu tunggakan gaji berkenaan terutama Kedah perlu memberi maklumbalas segera sekiranya terdapat maklumat yang kurang tepat.

“Pada masa yang sama kami juga mahukan kepastian terhadap perkara ini kerana sebagai penyokong kami juga mahu tahu dari sumber mana perkara ini diperolehi bagi memastikan perkara ia tepat.

“Hebahan secara terbuka ini boleh mengundang pelbagai reaksi yang mungkin mengeruhkan keadaan dan kami berharap perkara tidak memberi kesan negatif dalam usaha untuk menyelesaikan sesuatu masalah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 1:39 PM