PUTERA Adrien sandaran emas di Sukma 2020. FOTO Ihsan PPLNS
PUTERA Adrien sandaran emas di Sukma 2020. FOTO Ihsan PPLNS
Mohd Amin Jalil


PERSATUAN Perahu Layar Negeri Sembilan (PPLNS) akan menyandarkan harapan kepada Putera Adrien Danish Mohd Fuad untuk merangkul pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020, di Johor.

Presiden PPLNS, Lawrence Yeow berkata, Putera Adrien Danish adalah pelayar muda berbakat dan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA Filipina 2019 dalam acara Optimist.

Katanya, bagaimanapun, pelayar terbabit tidak dapat beraksi dalam acara Optimist pada Sukma nanti kerana melebihi umur dan dia akan membawa cabaran dalam acara baharu, Laser 4.7.

“Namun, saya yakin dan percaya, Putera Adrien Danish mampu melakukan persembahan cemerlang dalam acara itu dan seterusnya meraih pingat emas untuk Negeri Sembilan.

“Kami juga turut menyasarkan dua pingat perak menerusi gandingan Putera Adry Haqqim dan Muhammad Ammar Wajdi dalam acara International 470,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai persiapan skuad berkenaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lawrence berkata, ketika ini atlet tidak dapat menjalani latihan di perairan pantai Port Dickson seperti ditetapkan kerana mematuhi arahan PKP.

Menurutnya, latihan fizikal di rumah masing-masing tidak mencukupi namun ia masih tetap membantu atlet.

”Persiapan atlet Sukma kita sememangnya terganggu kerana tidak dapat menjalani latihan seperti biasa dan latihan fizikal di rumah masing-masing tidak mencukupi.

”Malah tiga pertandingan peringkat negeri yang juga praSukma tidak dapat disertai selepas dibatalkan kerana Covid-19.

”Sememangnya ia menganggu namun kita perlu hadapinya dan penangguhan Sukma 2020 juga satu langkah tepat demi kepentingan dan keselamatan atlet,” katanya.

Lawrence berkata, PPLNS sudah menyenaraikan 12 pelayar untuk membawa cabaran dalam enam kategori pada temasya itu nanti.

Menurutnya, mereka akan menyusun semula program latihan skuad berkenaan untuk memastikan reputasi pasukan dapat dipertahankan.

”Kita terpaksa mengkaji semula jadual dan bentuk latihan, supaya atlet mendapat tahap prestasi terbaik apabila tarikh baharu Sukma 2020 diumumkan kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 8:29 PM