FELLAINI pernah memuatnaik video di Instagram tengah bersenam di dalam bilik ketika ditahan di hospital di bahagian timur bandar Jinan. FOTO AGENSI
FELLAINI pernah memuatnaik video di Instagram tengah bersenam di dalam bilik ketika ditahan di hospital di bahagian timur bandar Jinan. FOTO AGENSI
AFP

BEKAS bintang Manchester United, Marouane Fellaini dibenarkan keluar hospital hari ini selepas tiga minggu dirawat akibat wabak Covid-19.

Pemain tengah berusia 32 tahun itu, satu-satunya pemain Liga Super China yang diketahui dijangkiti wabak berkenaan dan sekarang perlu dikuarantin selama 14 hari untuk proses pemantauan, jelas kelabnya, Shandong Luneng.

Bintang antarabangsa Belgium itu berkata 22 Mac lalu bahawa dia diuji positif virus berkenaan, sebaik baru saja kembali ke China dan meminta semua peminat bertenang kerana dia berada dalam keadaan baik.

Fellaini pernah memuatnaik video di Instagram tengah bersenam di dalam bilik ketika ditahan di hospital di bahagian timur bandar Jinan.

“Sudah tiba masanya saya mengucapkan terima kasih kepada staf perubatan hospital, jururawat dan juga kelab saya, kerana menjaga saya dalam keadaan baik. Marilah kita memerangi wabak ini, itu paling penting,” katanya dalam laman sosial hari ini.

China, iaitu negara yang menyebabkan wabak berkenaan tercetus Disember lalu, berkata mereka sekarang ini sudah membendung penyakit berkenaan namun tetap risau mengenai gelombang kedua dari luar negara.

Selepas Fellaini diuji positif ia memberi tamparan buat saingan liga berkenaan untuk memulakan saingan pada masa akan datang, selepas terpaksa menangguhkan pembukaan musim 22 Februari lalu.

Fellaini, yang juga bekas pemain Everton, menyertai Shandong dari Manchester United pada Februari tahun lalu.

Dia berjaya bermula dengan cemerlang pada penampilan musim pertama selepas meledak 12 gol daripada 34 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 10:23 PM