TUNKU Ismail kecewa dengan sikap lepas tangan KFA. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TUNKU Ismail kecewa dengan sikap lepas tangan KFA. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Firdaus Hashim


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim jelas 'murka' dengan sikap lepas tangan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terutamanya kepada Setiausaha Kehormatnya, Asmirul Anuar Aris yang dilihat menuding jari ke arah pihak lain atas menyelesaikan pembayaran gaji pemain.

Jelas Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), beliau amat kecewa dengan sikap Asmirul yang tidak bertanggungjawab apabila tidak menerima teguran sebaliknya menyalahkan pihak lain termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL), penaja dan dirinya.

“Bila salah sendiri tak bayar gaji mula menunjuk jari kepada orang lain. 'Typical small time politicians SOP (Prosedur Operasi Standard), lepas tangan dan salahkan orang lain. Cukup-cukup tipu penyokong.

“Bila masa JDT masuk campur? Saya bersuara sebagai raja yang mementingkan rakyat. Yang tidak perlu bermuka-muka kerana perlukan undi.

“Apabila orang tegur demi kebaikan awak seharusnya terima. Bersikap tanggungjawab menjaga kebajikan orang-orang yang bekerja untuk kita. Bukan mengular atau berbelit salahkan orang lain.

“Yang mengadu pemain-pemain Kedah juga. Saya bersuara untuk semua pemain di dalam negara yang dah lama menjadi mangsa janji kosong orang politik yang mengurus bola sepak demi kepentingan peribadi,” kata Tunku Ismail di akaun media sosial Instagram miliknya.

Terdahulu, Asmirul menjelaskan tunggakan gaji membabitkan skuad Helang Merah berpunca daripada kelewatan menerima pembayaran penajaan ekoran kegawatan ekonomi susulan krisis pandemik Covid-19 ketika ini.

Malah, Ahli Dewan Negeri Kedah yang mewakili Dun Kubang Rotan itu juga menyalahkan kelemahan pengurusan FAM dan MFL dalam menangani isu Covid-19 termasuk penyusunan semula jadual dan bantuan khas dana buat pasukan.

Tidak terhenti di situ, Asmirul turut mempersoalkan kewajaran Tunku Ismail dalam mencampuri urusan pasukan lain.

"Saya bersuara sebagai penaung Diraja PFAM (Persatuan Bolasepak Pemain Profesional Malaysia). Saya bersuara demi pemain yang berhempas pulas setiap tahun untuk bola sepak negara dan penyokong bola sepak tempatan,” kata Tunku Ismail.

Selain itu, bekas Presiden FAM dan Pengerusi MFL itu mempersoalkan alasan Asmirul yang mengaitkan tunggakan gaji pemain berpunca oleh Covid-19.

“Gaji lambat bukan sebelum Covid-19. Duit bonus Piala FA (musim lalu) lambat. Gaji dua bulan lambat hanya dibayar sebelum perlawanan Piala Sumbangsih.

“Pemain-pemain Kedah sendiri yang bercerita. Penyerang import Kedah pun dah 'complain' kepada pemain saya. Saya tiada niat nak masuk campur.

“Sebelum ini saya diam. Tetapi awak kaitkan JDT dalam kenyataan awak. Jadi saya terpaksa pertahankan kelab saya yang langsung tiada masuk campur dalam hal ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 3:21 PM