LUIZ (kanan) kagum dengan kepimpinan Arteta. FOTO Agensi
LUIZ (kanan) kagum dengan kepimpinan Arteta. FOTO Agensi
Agensi

DAVID Luiz berkata, pemain Arsenal seperti kembali ke zaman ‘persekolahan’ ketika krisis koronavirus yang menyaksikan pengurus mereka, Mikel Arteta didapati positif penyakit itu.

Arteta individu berprofil tinggi pertama dalam Liga Perdana positif Covid-19 yang seterusnya membawa kepada penangguhan liga sehingga kini.

Luiz, 32, berkata, rakan sepasukan risau apabila mengetahui nasib menimpa pengurus mereka dan bimbang tahap kesihatan pengendali dari Sepanyol itu.

"Kami takut,” kata bekas pertahanan Chelsea itu kepada ESPN Brazil. "Pada hari dia positif, kami sedih, takut dan duduk di rumah.

"Kami mula kuarantin sebelum orang lain di England. Ia amaran besar kepada kami selepas seseorang yang rapat positif penyakit itu.”

Arteta dilantik pengurus Arsenal pada 20 Disember dan kelab hanya tewas sekali dalam sembilan perlawanan selepas itu -- 1-2 di tangan Chelsea di tempat sendiri.

Luiz berkata dia teruja dengan kepimpinan bekas pemain tengah Arsenal itu setakat ini dan berasakan seperti kembali ke sekolah selepas diberikan kerja rumah dan tugasan lain ketika tempoh kuarantin.

"Kami diberikan tugasan sama seperti ketika di sekolah dan universiti,” kata pemain Brazil itu. “Kami menghabiskan satu setengah jam menjawab panggilan video dari Arteta, menganalisis perlawanan dan latihan musim ini.

"Beritahu saya mengenai perlawanan ini tanpa melihatnya, David, kata dia. Selepas itu kami menyaksikan bersama dan memberikan pendapat bersama. Perbincangan berlangsung dengan ceria tapi amat berfaedah dan membantu kami pasa masa depan.”

Luiz juga yakin Arteta akan berjaya dalam bidang pengurusan walaupun kali pertama dilantik pengurus sepenuh masa selepas tiga setengah tahun menjadi pembantu Pep Guardiola di Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 9:15 AM