PERMUSUHAN Murray (kanan) dan Djokovic di atas gelanggang masih membara sehingga kini. FOTO Agensi
PERMUSUHAN Murray (kanan) dan Djokovic di atas gelanggang masih membara sehingga kini. FOTO Agensi
AFP-

ANDY Murray mengakui kekalahan pada final Roland Garros 2016 di tangan Novak Djokovic salah satu saat paling menyakitkan sepanjang kariernya.

Djokovic menang 3-6, 6-1, 6-2, 6-4 di Paris untuk merangkul trofi pertama dan satu-satunya gelaran Terbuka Perancis milik bintang Serbia itu.

Semalam, Murray dan Djokovic berbual di Instagram dan berkongsi dengan peminat mengenai perseteruan mereka ketika zaman kanak-kanak dan masih lagi membara pada usia awal 30-an. "Jika saya mampu mengubah satu keputusan, jelas saya mahu menjuarai Terbuka Australia atau Terbuka Perancis tetapi ia sangat mencabar. Gelanggang tanah liat terbukti sangat sukar sepanjang karier saya,” kata Murray kepada pemain nombor satu dunia itu.

"Sangat sukar menyesuaikan cara permainan saya dengan permukaan itu. Satu pencapaian paling besar jika saya mampu menjuarai Terbuka Perancis.

"Australia juga beberapa kali mengecewakan saya, terima kasih kepada anda. Jika saya mampu mengubah satu keputusan, saya akan merampas Terbuka Perancis daripada anda.”

Djokovic pula jelas lebih mendominasi berbanding Murray. Dia memiliki kelebihan rekod 25-11 dan meraih 17 gelaran Grand Slam berbanding pemain Britain itu yang hanya memiliki tiga gelaran.

Bagaimanapun, Murray memiliki dua pingat emas Olimpik di London 2012 dan Rio 2016.

Dia menewaskan Djokovic pada separuh akhir di London sebelum memenangi gelaran.

"Saya rasa seperti beraksi dengan baik keseluruhannya tetapi anda mengatasi saya 7-5, 7-5 pada separuh akhir Olimpik London," kata Djokovic.

"Saya masih berasakan kami berdua bermain dengan baik, kualiti perlawanan agak bagus dan anda lebih bijak ketika detik penentuan set. Sudah tentu saya kecewa kerana ia Olimpik tetapi saya gembira dengan cara saya bermain.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 8:45 AM