Kejuaraan Cub Prix Malaysia belum berlangsung musim ini dengan pusingan pertama yang sepatutnya berlangsung di Tangkak pertengahan bulan lalu ditangguhkan. FOTO FATHIL ASRI
Kejuaraan Cub Prix Malaysia belum berlangsung musim ini dengan pusingan pertama yang sepatutnya berlangsung di Tangkak pertengahan bulan lalu ditangguhkan. FOTO FATHIL ASRI
Saiful Affendy Sapran


INDUSTRI sukan permotoran negara berada dalam situasi sukar berikutan pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia ketika ini.

Pengarah Urusan Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd yang juga promoter bagi acara Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, Ron Hogg berkata, dengan tiada bantuan khusus diberikan kepada sukan permotoran, pendapatan mereka yang terbabit dengan industri berkenaan seperti pelumba dan mekanik turut terjejas.

Katanya, meskipun pihak penaja rata-ratanya kekal memberikan komitmen penuh, mereka sudah pastinya tetap mahukan pulangan setimpal daripada pasukan yang ditaja.

“Sebab itu mahu tidak mahu perlumbaan perlu dianjurkan selepas berakhirnya tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kami sudah memikirkan beberapa kemungkinan termasuk jika perlumbaan dianjurkan tanpa penonton.

“Yang penting adalah perlumbaan perlu berlangsung dan apabila itu berlaku, maka setimpal untuk membayar gaji kepada kru pasukan. Kalau tak ada perlumbaan dalam tempoh semusim, macamana nak bayar gaji mereka.

“Walaupun kami tak bergantung kepada jualan tiket kerana penonton masuk menyaksikan perlumbaan secara percuma, sekiranya perlumbaan terpaksa dilangsungkan secara tertutup, ia juga akan memberi kesan kepada penaja yang kebiasaannya menjual dan memperkenalkan produk mereka ketika berlangsungnya perlumbaan.

“Tapi sekurang-kurangnya perlumbaan tetap berlangsung dan industri ini terus berjalan,” katanya yang menyatakan kira-kira 700 kakitangan terbabit dalam Kejuaraan Cub Prix dengan hampir kebanyakannya berstatus kontrak.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia belum berlangsung musim ini dengan pusingan pertama yang sepatutnya berlangsung di Tangkak pertengahan bulan lalu ditangguhkan.

Ron yang juga bos Two Wheel Motor Racing (TWMR) iaitu promoter untuk Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) berkata, situasi lebih sukar untuk senario perlumbaan antarabangsa itu.

“Ia membabitkan banyak negara yang terbabit sama ada dengan pusingan perlumbaan atau kakitangan yang bekerja dengan pasukan,” katanya.

“Dengan larangan ke luar negara dan pelbagai isu lain, sudah pasti perlumbaan ARRC memerlukan perbincangan lebih mendalam sebelum memutuskan bilakah ia akan bersambung semula,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 8:54 PM