SYAMIM (kiri) berharap keputusan terbaik MUSA dapat memberi kebaikan kepada dua belah pihak. FOTO Ihsan Melaka United
SYAMIM (kiri) berharap keputusan terbaik MUSA dapat memberi kebaikan kepada dua belah pihak. FOTO Ihsan Melaka United
Mohd Rafi Mamat


PEMAIN tengah Melaka United (MU) Ahmad Syamim Yahya berharap kata putus yang terbaik dapat dicapai oleh Exco Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang akan bermesyuarat berhubung potongan gaji.

Menurutnya, selepas mengadakan pertemuan antara pemain dan jurulatih dengan Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebelum ini ia dilihat mampu memberi kebaikan kepada dua belah pihak.

Katanya, pemain memberi dua cadangan kepada MUSA untuk mereka dinilai dan pertimbangkan, apa juga keputusan yang dibuat akan diterima oleh pemain yang memahami kedudukan kewangan persatuan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19.

“Kami semua bersetuju gaji dipotong terutama apabila sumber kewangan persatuan menerusi jualan tiket perlawanan dan penajaan kini tidak lagi diterima seperti sebelum ini, pada masa yang sama perlu membayar gaji sebelum ini.

“Sebab itu kami ikhlas hati bersetuju gaji dipotong, episod berkenaan bukan saja berlaku terhadap pemain Liga Malaysia (Liga M) tetapi turut membabitkan hampir semua liga bola sepak terkemuka seluruh dunia,” katanya, di sini hari ini.

Dia berkata, pemain berharap keputusan terbaik MUSA dapat memberi kebaikan kepada dua belah pihak, pemotongan gaji boleh dibuat bermula bulan pertama wabak Covid-19 hingga tamat kontrak.

Ahmad Syamim yang sebelum ini beraksi dengan pasukan FELDA United, Pahang dan Terengganu berkata, tidak bermakna gaji tidak dipotong tetapi akhirnya persatuan tidak mampu menyelesaikan gaji hingga akhir musim.

Justeru katanya, selepas mengambil kira pelbagai sudut semua pemain MU secara rela hati menerima keputusan pemotongan gaji walaupun masih belum diputuskan jumlahnya.

“Saya percaya semua pemain kini masih sabar menanti keputusan daripada pihak pengurusan MUSA yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan pemain, diharapkan keputusan yang akan diumumkan nanti dapat memberi kebaikan kedua belah pihak.

“Sebagai pemain profesional saya yakin semua persatuan bolasepak negeri termasuk kelab kini berhadapan masalah kewangan apabila saingan Liga M tidak dapat diteruskan musim ini,” katanya yang kini terpaksa berehat bersama keluarga di Raub, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 10:25 PM