AHMAD Zaini (dua dari kiri) menyokong keputusan dibuat kerajaan. FOTO MOHD AMIN JALIL.
AHMAD Zaini (dua dari kiri) menyokong keputusan dibuat kerajaan. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


KELAB e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9Futbol.com) menyokong penuh langkah kerajaan yang tidak membenarkan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini disambung.

Presidennya, Ahmad Zaini Baharun berkata, keputusan yang dibuat itu sudah tentunya mengambil kira kepentingan keselamatan rakyat terutama peminat dan pemain bola sepak.

Katanya, walaupun larangan meneruskan Liga-M itu akan memberi kesan kepada banyak pihak terutama persatuan bola sepak negeri selain rakan kongsi, namun ia sebagai langkah terbaik dalam memastikan rantaian wabak Covid-19 ini dapat diputuskan sepenuhnya.

"Keputusan dibuat kerajaan itu memang disokong kerana ketika ini pun kita masih tidak dapat menjangkakan berapa lama atau bilakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini akan berakhir.

"Selepas saingan Liga-M terhenti sejak 16 Mac lalu, tiada lagi sebarang aktiviti atau perlawanan bola sepak diadakan dan situasi itu juga menjejaskan momentum pemain, walaupun mereka meneruskan latihan fizikal di kediaman masing-masing.

"Kedudukan perlawanan liga yang masih diperingkat awal juga pasti menjadi masalah untuk dihabiskan andai liga disambung kerana hanya berbaki beberapa bulan untuk dihabiskan," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zaini berkata, melihat kepada situasi berkenaan sememangnya suatu jalan yang sukar terutama bagi pihak yang berkaitan dengan pengendalian Liga-M ini, untuk menyusun semula jadual atau baki perlawanan.

"Masa yang berbaki agak suntuk untuk menyambung Liga-M dan itu tidak termasuk lagi perkara di luar jangka selain hari-hari tertentu seperti perayaan rasmi negara,' katanya.

Menurutnya, sememangnya penanggguhan Liga-M itu akan memberi kesan terutama pemain yang mungkin mereka ditamatkan kontrak dengan pasukan atau pendekatan lain yang akan mengurangkan pendapatan.

Katanya, bagaimanapun semua pihak harus menerima hakikat tentang wabak pandemik ini yang melanda seluruh dunia.

"Semua pihak harus mengutamakan keselamatan dan nyawa rakyat walaupun kali ini kita tidak dapat menyaksikan kemeriahan bola sepak," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media beliau hari ini mengesahkan sebarang perhimpunan beramai-ramai termasuklah aksi bola sepak tetap tidak dibenarkan sekalipun tempoh PKP ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 9:58 PM