AKSI pemain Melaka United bertemu Felda United di Liga M sebelum PKP. FOTO FB MUSA
AKSI pemain Melaka United bertemu Felda United di Liga M sebelum PKP. FOTO FB MUSA

'MOOD' penyokong untuk menyaksikan Liga Malaysia (Liga-M) semakin layu selepas perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa keempat bermula esok.

Malah selepas saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada perhimpunan membabitkan tempoh enam bulan atau lebih daripada itu apabila PKP tamat, terus membimbangkan peminat untuk hadir ke stadium menyaksikan liga walaupun terdapat peraturan ketat.

Bagi peminat setia bola sepak Malaysia dan Melaka, Abd Rahman Ali, impian penyokong lebih kepada mahu wabak berkenaan berjaya diputuskan dan ia menyebabkan 'mood' menyaksikan perlawanan dalam tempoh terdekat sememangnya semakin suram.

Katanya, pengumuman kerajaan yang mahu liga berkenaan tidak diadakan musim ini amat tepat dan wajar demi kepentingan dan keselamatan pemain, pegawai serta penyokong.

Beliau mengakui pandemik ini amat kritikal sehingga kejohanan besar termasuk Sukan Olimpik Tokyo juga ditangguhkan ke tahun hadapan.

"Malah Sukan Malaysia (Sukma) yang turut diubah pada Mac 2021 adalah contoh yang baik untuk sama-sama memutuskan rantaian berkenaan.

"Pada saya pasti peminat tidak mahu mengambil risiko walaupun pelbagai standard operasi (SOP) baharu diperkenalkan dalam tempoh terdekat," katanya yang juga jurulatih Kelab Bolasepak Retro Gadek.

Sementara itu, ahli Kelab Penyokong Demi Melaka United (DMU) Rosli Abd Samad berkata, untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu sememangnya sukar.

Katanya, Liga M selepas ini sudah pasti tiada seri akibat pandemik Covid-19 dan dia juga akur dengan sebarang perubahan keputusan kerajaan jika liga diteruskan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pula berkata, keputusan akhir akan diketahui selepas rayuan kepada kerajaan.

Beliau berkata, FAM kini hanya menunggu keputusan rasmi berkaitan perkara terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 7:18 PM