LITAR Red Bull Ring di Spielberg. - FOTO Agensi
LITAR Red Bull Ring di Spielberg. - FOTO Agensi
AFP

GRAND Prix Austria yang dijangka menjadi pembuka tirai Formula Satu musim ini hanya akan diberi lampu hijau jika dilangsungkan tanpa penonton.

Penganjur grand prix di Red Bull Ring di Spielberg pada 5 Julai itu diarahkan oleh Menteri Kesihatan supaya mematuhi syarat ditetapkan.

"Kebenaran melangsungkannya bergantung penuh kepada pelan keselamatan oleh penganjur," kata Rudolf Anschober kepada Radio O1.

"Kami akan hanya membenarkannya dengan syarat ketat, sudah tentu saya fikir tanpa penonton."

Beliau memberitahu Agensi Akhbar Austria (APA): "Kami menjalankan tugas kami."

Kerajaan mahu perlumbaan dilangsungkan dalam litar tertutup dengan hanya rakyat negara itu yang terbabit dengan pengurusan perlumbaan selain krew pasukan dibenarkan berada di litar.

Pada awal minggu ini, ketua Formula One, Chase Carey menyasarkan perlumbaan musim ini bermula di Austria selepas Grand Prix Perancis dibatalkan susulan pandemik Covid-19 dan penonton tidak dibenarkan menyaksikan perlumbaan British di Silverstone pada 19 Julai.

GP Perancis yang dijadualkan pada 28 Jun menyertai sembilan perlumbaan lain dalam kalendar musim 2020 yang terpaksa dibatalkan (Australia, Monaco) atau ditunda (Bahrain, China, Vietnam, Belanda, Sepanyol, Azerbaijan, Kanada).

"Kami menyasarkan memulakan perlumbaan di Eropah sepanjang Julai, Ogos dan awal September, dengan perlumbaan pertama diadakan di Austria pada hujung minggu 3-5 Julai.

"Pada September, Oktober dan November, kami akan berkunjung ke Eurasia, Asia dan Amerika, menamatkan musim di Teluk pada Disember dengan Bahrain sebelum penutup tirai di Abu Dhabi, selepas menamatkan 15-18 perlumbaan," kata Carey.

Bagaimanapun, Carey turut berkata "perlumbaan awal berlangsung tanpa penonton."

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 7:52 AM