PETUGAS NHS di Salford Royal NHS Foundation Trust bakal mendapat makanan percuma sumbangan Manchester United. FOTO Agensi
PETUGAS NHS di Salford Royal NHS Foundation Trust bakal mendapat makanan percuma sumbangan Manchester United. FOTO Agensi
Agensi

MANCHESTER United akan menyumbang 60,000 makanan percuma kepada petugas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS) yang bekerja keras membendung penularan wabak Covid-19.

Inisiatif itu hasil kerjasama United, Tabung Kebajikan Manchester United, Mealforce dan syarikat katering kelab, Bidfood yang menyaksikan penghantaran makanan tanpa sebarang kos ke empat kawasan di Manchester sebagai salah satu langkah memerangi Covid-19.

Petugas NHS berpangkalan di Manchester University NHS Foundation Trust (MFT) dan Salford Royal NHS Foundation Trust yang kebiasaannya membawa makanan sendiri ketika bertugas bakal mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu.

Inisiatif itu turut membabitkan 80 petugas tetap dan sementara kelab yang sukarela menyediakan makanan di dapur di Old Trafford namun tetap mematuhi garis panduan penjarakan sosial.

Kos fasiliti dan staf ditanggung United manakala kos lain ditanggung Tabung Kebajikan Manchester United.

Dari situ, Bidfood mengedarkan makanan ke seluruh bandar.

Ketua Eksekutif Tabung Kebajikan Manchester United, John Shiels berkata: "Ketika banyak program kami terjejas angkara pandemik, kami tetap berusaha membantu masyarakat. Membekalkan makanan kepada petugas hospital satu tindakan terpuji yang mengeratkan hubungan tenaga kerja di Old Trafford dengan NHS.

"Saya berterima kasih kepada semua orang yang memberikan komitmen menjayakan skim ini."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 10:09 AM