Mohamad Ishak Kunju Mohamad.
Mohamad Ishak Kunju Mohamad.
Malik Muhamad


PENGUMUMAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bercadang menyambung kembali Liga Malaysia (Liga M) bermula 1 September 2020 adalah tepat dan bijak demi industri bola sepak negara.

Namun timbul persoalan adakah pasukan daripada Liga Super diturunkan pangkat ke saingan Liga Perdana musim depan dan begitu sebaliknya sebagaimana format sedia ada sebelum ini.

Demikian pandangan dan persoalan ketua jurulatih skuad PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad.

Beliau berkata, langkah diambil badan induk bola sepak negara untuk menyambung semula liga dinanti-nantikan semua pihak termasuk pemain dan pegawai pasukan selepas ditangguhkan mulai 16 Mac lalu.

"Tapi status sama ada dua pasukan tercorot Liga Super diturunkan ke Liga Perdana pada musim depan ini yang bermain di fikiran kami memandangkan Liga M disambung separuh liga sahaja.

"Ini bermakna pasukan seperti kami yang memulakan liga dengan pemotongan tiga mata tentu kena tempias, lagipun pasukan The Corp sekarang menghuni tangga terbawah liga dengan negatif dua mata selepas empat perlawanan.

"Kami harap badan induk bola sepak negara memperincikan dan memperhalusi situasi itu sebaiknya, mungkin saingan Liga Super tahun ini tiada penyingkiran ke saingan Liga Perdana musim depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 6:00 AM