STUART berkata, FAM akan memaksa pasukan yang ingkar membayar penuh gaji pemain pada bulan April. FOTO Owee Ah Chun
STUART berkata, FAM akan memaksa pasukan yang ingkar membayar penuh gaji pemain pada bulan April. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


AMARAN keras dilontarkan buat pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang mengambil kesempatan di atas Garis Panduan Pelarasan Gaji bagi memotong gaji pemain sedangkan pasukan terbabit masih gagal dan sangkut membayar gaji pemain.

Peringatan itu disuarakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang tidak membenarkan mana-mana pasukan yang sebelum ini culas membuat pemotongan gaji seperti mana terkandung dalam manual Garis Panduan Pelarasan Gaji diedarkan kepada semua pasukan.

Katanya, pemotongan maksimum sebanyak 30 peratus bermula April hanya membabitkan kepada pasukan-pasukan yang masih gagal mencapai persetujuan bersama pemain berhubung pemotongan gaji sepanjang krisis pandemik Covid-19 ini.

Tegasnya, sekiranya terdapat pasukan yang ingkar terutama majikan yang bermasalah dalam pembayaran gaji sebelum ini, badan induk itu tidak teragak-agak untuk memaksa pasukan terbabit membayar penuh gaji bulan April itu.

"Kalau gaji bulan Mac tidak dibayar, kemudian mahu memotong bayaran April, pemain dan pengurusan pun tidak mencapai persetujuan, itu kami tidak terima.

"Ia akan menyebabkan terbatal terus bagi sebarang pemotongan yang ingin dilakukan untuk April.

"Jika masih tidak membayar gaji April, kami akan mengambil tindakan merealisasikan gaji penuh untuk bulan itu," katanya ketika sidang media menerusi sidang video bersama media, semalam.

FAM mengumumkan garis panduan baharu pemotongan gaji pemain yang turut mendapat kelulusan dan kebenaran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk dikuatkuasakan dalam saingan Liga-M.

Menerusi Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM itu, pemotongan sebanyak 30 peratus akan dikenakan terhadap pemain yang meraih pendapatan melebihi RM15,000 dan ke atas sebulan.

Manakala, bagi pemain yang menerima gaji dari RM10,000 hingga RM14,999 akan dipotong sebanyak 20 peratus diikuti RM5,000 hingga RM9,999 (15 peratus) dan RM4,999 (10 peratus).

Kesemua penetapan itu adalah harga siling bagi membantu menyelamatkan krisis kewangan pasukan yang terkesan teruk ekoran wabak Covid-19 ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 7:17 PM