Chris Froome juara empat kali Tour de France. FOTO Agensi
Chris Froome juara empat kali Tour de France. FOTO Agensi
Agensi

PELUMBA Team Ineos, Chris Froome bimbang Pertubuhan Sukan Amaury (ASO) mungkin tidak dapat mengawal orang ramai atau menghalang penonton berkumpul pada Tour de France yang dijadualkan pada 29 Ogos hingga 20 September berikutan pandemik Covid-19.

"Adakah penganjur akan membenarkan orang ramai datang dan berkumpul dalam kelompok besar?" kata Froome dalam perbualan langsung di Instagram bersama bekas pemain kriket kebangsaan Afrika Selatan, Kevin Pietersen.

Jadual Tour de France sebenarnya berlangsung dari 27 Jun hingga 19 Julai namun ditangguhkan kerana Covid-19

UCI mengumumkan keputusan itu dengan kerajaan Perancis dan pemegang taruh terpaksa melakukan penjadualan semula jelajah utama itu dimulakan pada penghujung Ogos.

Badan induk sukan itu turut mengumumkan semua perlumbaan digantung sehingga 1 Julai, sementara perlumbaan WorldTour lelaki dan wanita digantung sehingga 1 Ogos.

Penjadualan semula kalendar penghujung musim menjadi keutamaan bagi tiga jelajah utama dan lima perlumbaan terpilih dijangka diterbitkan pada Selasa ini.

Tarikh baharu Tour de France menjadi tanda tanya, bagaimanapun, selepas Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, mengumumkan larangan penganjuran semua acara sukan utama yang membabitkan lebih 5,000 orang sehingga September.

Pada hari sama, Menteri Sukan Perancis menegaskan apa sahaja penggantungan tidak akan menjejaskan Tour de France tapi kemungkinan ia akan membawa kesan kepada jumlah penonton yang dibenarkan menonton perlumbaan di lokasi.

"Dari segi teori kita dapat meneruskan perlumbaan dan ia boleh disiarkan secara langsung di televisyen," kata Froome.

Froome juara empat kali Tour de France namun terlepas saingan tahun lalu kerana kecederaan parah yang dialami dalam kemalangan ketika latihan menjelang Criterium du Dauphine.

Dia meletakkan sasaran untuk memenangi kejuaraan Tour de France buat kali kelima pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 12:30 PM