SKUAD futsal Terengganu yang menggalas misi dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim ini. FOTO Ihsan TFC
SKUAD futsal Terengganu yang menggalas misi dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


"HARAPAN kami agar Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) tidak 'bungkus' musim ini," demikian reaksi ketua jurulatih pasukan Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad.

Beliau berkata demikian selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan bolasepak Malaysia (FAM) sehingga kini belum lagi membuat sebarang keputusan sama ada akan membatalkan liga itu seperti Piala FA dan Piala Cabaran ataupun meneruskan saingan.

Namun Rozairi yang berjaya membantu skuad Penyu merangkul tempat ketiga liga itu musim lalu meletakkan harapan yang tinggi agar MPFL musim ini dapat disambung kembali sebagaimana Liga Super, Liga Perdana dan Piala Malaysia.

"Setakat ini kami belum mendapat sebarang info berkaitan daripada badan induk bola sepak negara sama ada liga futsal musim ini akan disambung semula ataupun terpaksa dibatalkan.

"Daripada persatuan negeri pun setakat ini kami belum menerima apa-apa lagi info terkini, tapi saya difahamkan FAM ada mengeluarkan kenyataan perlu menunggu keputusan mesyuarat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Jun ini.

"Walau apapun keputusan daripada FAM, kami tetap reda dan setia menanti kerana sudah pasti pihak berkenaan tidak akan membuat keputusan terburu-buru berhubung perkara itu sebaliknya akan memperhalusinya memandangkan negara berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.

"Saya yakin dan percaya jika wabak itu sudah pulih sepenuhnya dan benar-benar selamat, pasti ada berita gembira buat pemain yang ketika ini boleh dikatakan begitu 'ketagih' untuk beraksi kerana baharu satu perlawanan liga sebelum dihentikan bermula 16 Mac lalu.

"Bagi pemain mereka tetap fokus dan meneruskan sesi latihan seperti biasa di rumah masing-masing untuk mengekalkan tahap kecergasan walaupun pada bulan Ramadan kerana liga boleh disambung pada bila-bila masa jika mendapat kebenaran daripada kerajaan.

"Namun besar harapan kami termasuk pemain agar liga futsal ini dapat disambung semula lagipun kami sudah melakukan persediaan yang rapi sebelum liga bermula," katanya yang menyasarkan keputusan lebih baik musim ini selain mahu mengintai peluang beraksi pada pentas final Piala Futsal yang bakal pertama kali diperkenalkan musim ini.

Jumaat lalu, MFL mengumumkan Liga Super dan Liga Perdana akan kembali bersambung selama sebulan tanpa penonton mulai 1 September 2020 hingga 27 September 2020.

Saingan Piala Malaysia pula akan dilangsungkan mulai 17 Oktober dengan menggunakan format baharu manakala Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa dibatalkan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:29 PM