Kontrak Rossi bersama Yamaha berakhir musim ini. FOTO FB Valentino Rossi
Kontrak Rossi bersama Yamaha berakhir musim ini. FOTO FB Valentino Rossi
Agensi

PERSOALAN mengenai masa depan Valentio Rossi di MotoGP kini terarah kepada sehingga bila juara dunia sembilan kali itu mampu berlumba.

Sebaik Yamaha mengumumkan pelumba paling popular di atas litar itu tidak akan bersama mereka pada tahun depan apabila menggantikan tempatnya dengan Fabio Quartararo, masa depan Rossi dilihat tergantung.

Rossi ditawarkan tempat ke pasukan satelit, Petronas Yamaha SRT pada musim depan namun dia masih tidak memberi sebarang maklum balas.

Bagaimanapun bapa Rossi yang juga bekas pemenang Grand Prix, Graziano Rossi berasakan anaknya mampu berlumba untuk tempoh empat tahun lagi.

"Pada pendapat saya, dia masih boleh berlumba untuk dua, tiga atau empat tahun lagi. Dia jelas tidak berminat bersara untuk tempoh setahun dua ini dan saya yakin dengan perkara ini.

"Saya yakin Rossi masih kekal seorang pelumba kompetitif dan mampu memenangi perlumbaan jika dia berada di situasi yang tepat.

"Dalam situasi yang sukar ketika ini terutama kalendar perlumbaan yang dipendekkan akibat Covid-19, faktor pengalaman amat diperlukan.

"Ia mungkin akan memberi kelebihan kepada Rossi," katanya.

Rossi menamatkan saingan musim lalu di tempat ketujuh dengan perlumbaan MotoGP musim ini masih belum bermula susulan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 10:23 AM