AKSI barisan pemain TFC ketika bertemu Selangor pada saingan Liga Super, Mac lalu. FOTO Bernama
AKSI barisan pemain TFC ketika bertemu Selangor pada saingan Liga Super, Mac lalu. FOTO Bernama
Malik Muhamad


TERENGGANU FC (TFC) bersetuju dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung cadangan badan induk bolasepak negara itu untuk menyambung semula Liga Super bermula September depan.

Pengurusnya, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, TFC akan mengikut apa juga keputusan yang dibuat oleh MFL dan FAM berkaitan liga demi keselamatan semua ketika negara berdepan dengan krisis pandemik Covid-19.

Pada masa sama beliau menuntut barisan pemain skuad Penyu perlu sentiasa kekal cergas sepanjang masa sebelum turun kembali ke gelanggang.

"Kita ikut apa juga keputusan yang dibuat oleh badan induk bolasepak negara demi keselamatan semua termasuk pemain.

"Kepada pemain mereka harus sentiasa kekal cergas dan perlu membuat latihan di kediaman masing-masing yang dipantau jurulatih kerana setakat ini sukan melibatkan perhimpunan termasuk sentuhan seperti bola sepak dilarang pihak kerajaan," katanya.

Berdasarkan kedudukan dalam carta liga sehingga 16 Mac lalu, TFC kini berada ditangga kelapan dengan mengutip empat mata hasil tiga perlawanan tewas kepada Perak 3-1, menundukkan Kedah 4-3 dan seri 3-3 bertemu Selangor.

Sebelum ini, MFL mengeluarkan kenyataan Liga Super dan Liga Perdana akan disambung semula selama sebulan pada 1 September 2020 sehingga 27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja tanpa kehadiran penonton.

Saingan Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 Oktober 2020 dengan formatnya akan dirombak iaitu tiada saingan peringkat kumpulan dan perlawanan akan diadakan secara kalah mati manakala pentas Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa 'dikorbankan' kerana kesuntukan masa.

Namun begitu cadangan berkenaan automatik akan terbatal pada musim ini jika MFL tidak mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan Liga M yang dijadualkan semula itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 2:52 PM