MAHAZIR    kini mengusahakan tanaman tebu di Telok Mas, Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
MAHAZIR kini mengusahakan tanaman tebu di Telok Mas, Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


BEKAS penyerang lincah Melaka, Mahazir Taha, 61, menganggap Piala Malaysia mempunyai nilai sentimental tersendiri selain yang teragung dan paling berprestij dalam sejarah bola sepak negara.

Malah saingan terbabit melahirkan ramai bintang negara yang mampu meletakkan Malaysia di pentas Olimpik sebanyak dua kali pada 1972 dan 1980.

Namun, musim ini jika perlawanan kekal diadakan tanpa penonton ianya sudah pasti tidak semeriah sebelumnya berikutan penularan pandemik Covid-19.

Kebanjiran penonton di stadium mengingatkan Mahazir ketika beraksi bersama skuad Melaka di Stadium Kubu (kini Stadium Hang Tuah) yang dipenuhi penonton pada perlawanan yang berlangsung sebelah petang.

Malah insiden salah sebuah bangunan papan yang roboh di luar stadium akibat dipanjat penonton sekitar awal 1980-an tidak dapat dilupakan serta rakan seangkatan termasuk Datuk Soh Chin Aun, G Torairaju, Ramli Junit, Akop Itam, Lim Chuan Chin dan Hashim Marman selain penyokong tuan rumah.

"Perlawanan yang lebih kepada semangat kenegerian berikutan bukan atas nama kelab memperlihatkan komitmen perjuangan tinggi pemain untuk menang tambahan pula penyokong sudah memenuhi stadium lebih awal walaupun terpaksa berpanas dan berhujan.

"Lebih menarik Melaka muncul juara liga 1983 ketika dicabar sengit Selangor dan Pahang serta semua pasukan lawan ketika itu. Kejayaan terbabit membolehkan kesemua pemain dihadiahkan televisyen dan wang tunai kira-kira RM500 yang sudah dikira banyak ketika itu," katanya.

Mahazir berkata, walaupun hanya memperolehi elaun kira-kira RM50 seminggu ianya tidak pernah melemahkan semangat pemain jauh sekali mempertikaikannya berikutan mereka bermain untuk melonjakkan imej negeri.

Berbanding sekarang, pendapatan pemain yang tinggi seharusnya menjadi motivasi buat mereka untuk mencapai kejayaan lebih gemilang termasuk membawa negara layak ke Olimpik dan bersaing di Piala Dunia.

Beliau yang kini mengusahakan tanaman tebu berhampiran rumahnya di Telok Mas mengakui tiada yang mustahil mampu dilakukan dalam bola sepak kerana apa yang penting usaha gigih dan komitmen tinggi untuk mencipta sejarah baharu bola sepak negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:23 PM