AIDIL Sharin kerap memantau sesi latihan anak buah di rumah.
AIDIL Sharin kerap memantau sesi latihan anak buah di rumah.
Izzali Ismail


PENGAMBILAN susu kurma menjadi kegemaran ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bagi mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan setiap hari di rumah sepanjang Ramadan ini.

Minuman kegemaran itu menjadi amalan harian sejak sekian lama di samping kuih kesukaan iaitu epok epok atau karipap yang menjadi hidangan dinantikan ketika berbuka puasa dan ianya mudah didapati di Singapura dan Malaysia.

"Susu kurma sudah menjadi satu kemestian buat saya bukan hanya pada bulan puasa sahaja tetapi juga pada hari-hari biasa bagi mengekalkan kecergasan ketika saya menjalani tugasan berkaitan kejurulatihan."

"Bagi kuih pula, saya menggemari epok epok untuk juadah berbuka puasa yang dibuat isteri dan kuih ini juga mudah didapatidi Singapura dan juga di Malaysia. Selain makanan tempatan, saya juga gemar menikmati makanan barat seperi 'Fish and Chip' namun saya tidak mengambilnya setiap hari," katanya.

Aidil yang kini meluangkan masa bersama keluarga di Bukit Batok Singapura selepas Liga Malaysia (Liga-M) dihentikan seketika sejak Mac lalu berkata, perkembangan mengenai tahap jangkitan Covid-19 yang terkawal di Malaysia buat masa ini adalah petanda positif.

"Apabila setiap kali selesai meneliti dan memantau perkembangan pasukan Kedah secara dalam talian, saya mengambil waktu tambahan untuk membaca buku dan menonton video perlawanan bola sepak bagi tujuan meningkatkan lagi pengetahuan dalam bidang kejurulatihan.

"Saya sangat merindui suasana di Kedah dan rasa sudah tidak sabar mahu kembali meneruskan latihan bersama pasukan dan barisan kejurulatihan skuad Lang Merah di Alor Setar.

"Saya berharap dan berdoa agar wabak Covid-19 ini segera tamat dan industri bola sepak khususnya di Malaysia dapat bermula kembali dengan lebih cepat melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang akan diperkenalkan nanti."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:43 PM