HADI dan Hamada mewakili Yakult Malaysia  menghulurkan bantuan RM60,000 kepada pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia menerusi CAKNE.
HADI dan Hamada mewakili Yakult Malaysia menghulurkan bantuan RM60,000 kepada pesakit kanser kanak-kanak di Malaysia menerusi CAKNE.
Firdaus Hashim


MESKIPUN berada beribu batu dari tanah air, pemain muda negara, Hadi Fayadh Abdul Razak yang berada di Okayama, Jepun masih lagi mampu melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membantu mereka yang memerlukan di Malaysia.

Terbaru, penyerang kelab Liga Dua Jepun, Fagiano Okayama itu bersama syarikat Yakult Malaysia Sdn Bhd menyumbang dana RM60,000 bagi membantu kanak-kanak pesakit kanser di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) melalui Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak PPUKM (Cakne).

Jelasnya, melalui pemberian ikhlas itu dapat meringankan beban di samping membuat persediaan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Saya berharap agar sumbangan diberikan ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung ibu bapa setiap kanak-kanak ini.

"Apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana semua pihak tidak berada dalam keadaan senang berikutan pendemik Covid 19. Tambahan pula, tidak lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri.

"Walaupun dari kejauhan, kanak-kanak yang berada di Malaysia sentiasa dekat di hati saya. Bersama Yakult Malaysia, saya sentiasa membabitkan diri dalam program bersama kanak-kanak.

"Sebelum ini saya pernah bersama mereka dalam penganjuran klinik bola sepak di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada berkata, sumbangan ini akan diteruskan selama setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 12:19 AM