Rafael Nadal bersama trofi yang dimenangi di Terbuka Perancis tahun lalu. FOTO
Rafael Nadal bersama trofi yang dimenangi di Terbuka Perancis tahun lalu. FOTO
AFP

DANA bantuan yang diwujudkan badan pentadbiran antarabangsa tenis untuk membantu pemain yang terkesan berikutan pandemik Covid-19 berjaya mengumpul lebih AS6 juta (RM25.87 juta), menurut jurucakap Jelajah ATP hari ini.

Kesemua ATP, WTA, empat kejohanan Grand Slam serta Persekutuan Tenis Antarabangsa bergabung mewujudkan dana berkenaan, dalam kenyataan badan itu.

Dana berkenaan diwujudkan ketika dunia tenis terhenti sejak awal Mac lalu kerana krisis Covid-19.

Dana daripada program itu akan diagihkan oleh ATP dan WTA serta akan disasarkan sekurang-kurangnya 800 pemain perseorangan dan beregu daripada kedua-dua jelajah.

Syarat kelayakan untuk menerima wang tunai dari dana berkenaan akan ditentukan berdasarkan ranking dan pendapatan wang hadiah kemenangan sebelum ini, kata ATP.

Pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada tenis antarabangsa, hampir semua kejohanan dibatalkan atau ditangguhkan, termasuk kejohanan utama seperti Kejuaraan Wimbledon dan Terbuka Perancis di Roland Garros.

Menurut laporan di AS, setiap empat acara Grand Slam - Terbuka AS, Australia, Perancis dan Wimbledon - menyumbangkan AS1 juta (RM4.31 juta) kepada dana berkenaan.

Jelajah WTA dan ATP masing-masing turut dilaporkan menampung AS1 juta (RM4.31 juta).

Dana berkenaan diwujudkan untuk membantu pemain lelaki dan wanita yang tidak berada dalam kelompok 200 teratas dunia dalam acara perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 9:09 AM