REEZAL (tengah) ketika sesi lawatan di Akademi Badminton Negara (ABN) hari ini. FOTO Aswadi Alias
REEZAL (tengah) ketika sesi lawatan di Akademi Badminton Negara (ABN) hari ini. FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat


KEMENTERIAN Belia dan Sukan akan mengemukakan permohonan membenarkan atlet menjalani latihan seperti biasa lebih awal kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu bagaimanapun hanya akan membabitkan atlet di bawah program Road To Tokyo (RTT) terlebih dahulu untuk membolehkan mereka menjalani latihan di tiga pusat yang dibenarkan iaitu di Bukit Jalil, Bukit Kiara dan Langkawi.

Reezal ketika ditemui pada sesi lawatan di Akademi Badminton Negara (ABN) hari ini berkata, melihat kepada kesiapsiagaan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di ABN mendorongnya untuk membawa permohonan kebenaran itu ke KKM dan MKN lebih awal daripada apa yang dirancangkan.

"Pada awalnya saya ingin bawa permohonan kebenaran itu selepas raya namun selepas sesi lawatan di ABN dan melihat apa yang dilakukan oleh BAM, permohonan ke KKM dan MKN akan di buat sebelum raya bagi membolehkan mereka memulakan latihan pada 1 Jun ini.

"Kita kena bagi keyakinan dan keperluan untuk pertimbangan sebelum kelulusan kebenaran diberi kerana KKM dan MKN yang ada kuasa. Tapi apa yang dibuat BAM sangat produktif dan baik sekali, jadi Insya-Allah saya akan bawa perkara ini lebih awal.

"Bagaimanapun untuk badminton ia hanya akan membabitkan atlet di bawah program RTT iaitu 16 pemain dan enam jurulatih dulu," katanya.

Begitupun, BAM perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuklah melakukan proses nyah kuman bukan hanya kepada atlet tetap juga kemudahan yang digunakan dua kali setiap hari iaitu pada sebelah pagi dan malam.

"Proses nyah kuman ini akan turut membabitkan mereka yang terbabit dengan servis sokongan seperti dari ISN, pegawai sukan, kesihatan selain mereka yang terbabit dengan logistik dan penyediaan makanan dengan jumlah kira-kira 50 orang akan melalui protokol yang ketat setiap hari.

"Ini kerana apa yang apa yang penting ketika ini adalah latihan. Kita tidak tahu kejohanan akan berlangsung atau tidak tapi jika terlalu lama ia akan menjejaskan mental atlet jadi adalah satu yang kewajaran selepas dua bulan, atlet kembali ke gelanggang namun akta PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) masih lagi berkuat kuasa," katanya.

Sementara itu, Reezal memaklumkan BAM akan membenarkan pemain profesional yang berpotensi ke Olimpik untuk berlatih bersama dan menggunakan segala kemudahan di ABN ini kerana mereka juga adalah pemain badminton yang mempunyai misi sama iaitu menjulang nama Malaysia.

Turut hadir pada sesi lawatan di ABN itu adalah Presiden BAM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 6:22 PM