JAMAL nasihat pasukan termasuk kelab mengamalkan sikap berbelanja secara berhemah. FOTO NSTP
JAMAL nasihat pasukan termasuk kelab mengamalkan sikap berbelanja secara berhemah. FOTO NSTP
Mohd Rafi Mamat


WALAUPUN sedikit namun gaji setiap pemain perlu dibayar mengikut perjanjian dibuat demi kebajikan golongan berkenaan yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan sebagai golongan profesional.

Demikian ditegaskan bekas pemain pertahanan kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang terkilan apabila mendapati terdapat pemain terpaksa berhadapan terputus sumber kewangan berikutan tidak menerima gaji daripada majikan.

Menurutnya, sebagai pemain profesional sumber pendapatan mereka seratus peratus daripada gaji yang disediakan persatuan bolasepak negeri termasuk kelab namun sekiranya gaji tidak diterima, masalah besar pasti dihadapi.

Katanya, hampir setiap tahun isu pemain tidak menerima gaji pasti kedengaran, diera bola sepak profesional sekarang ia tidak sepatutnya berlaku hingga menjejaskan imej persatuan bolasepak negeri termasuk kelab.

"Sebagai bekas pemain bola sepak saya sedih setiap kali memikirkan nasib pemain tempatan yang berhadapan masalah gaji, boleh dikatakan hampir setiap tahun isu gaji tidak dapat dibayar pasti kedengaran.

"Selepas bermandi peluh ditengah padang imbuhan yang dijanjikan tidak diterima. Rasa marah, kecewa, geram dan terkilan bersarang dalam diri pemain terbabit," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, isu gaji pemain tidak dapat dibayar boleh diatasi sekiranya persatuan bolasepak negeri termasuk kelab mengamalkan sikap berbelanja secara berhemah, mengikut kemampuan bukan mengikut perasaan.

Jamal berkata, seperti kata pepatah 'Ukur baju di badan sendiri', sekiranya pihak pengurusan sentiasa mengamalkan kaedah itu, mereka pasti tidak akan berhadapan masalah kewangan yang terlalu ketara hingga mengundang episod tidak dapat membayar gaji pemain.

Katanya, kebijaksanaan menguruskan sumber kewangan yang dimiliki selain kemampuan mendapatkan penaja menjadi penentu kepada kejayaan persatuan bolasepak negeri termasuk kelab mengelak terhimpitnya mereka dengan masalah kewangan.

Menurutnya, walaupun gaji pemain dipotong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan PKP disebabkan pandemik Covid-19 namun masih kedengaran berlakunya gaji pemain tidak dapat dijelaskan mengikut perjanjian.

"Justeru nasihat saya pada pemain supaya bijak membuat pilihan pasukan yang akan diwakili bagi memastikan kemelut gaji tidak berlaku, sebolehnya buat semakan rekod pasukan dengan cara bertanya rakan.

"Pemain juga perlu berjimat serta menabung bagi memastikan apabila berlaku kejadian tidak diingini mereka boleh gunakan sumber kewangan yang ada, mereka boleh membuat pelaburan serta terbabit dengan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 6:25 PM