IRFAN berkata format baharu yang dikemukakan badan induk bolasepak negara itu tidak begitu sesuai terutama kepada pasukan bawahan liga. FOTO NSTP
IRFAN berkata format baharu yang dikemukakan badan induk bolasepak negara itu tidak begitu sesuai terutama kepada pasukan bawahan liga. FOTO NSTP
Malik Muhamad


FORMAT baharu tidak adil kepada pasukan yang berada dalam kelompok bawahan liga.

Demikian reaksi jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim susulan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencadangkan Liga Super dan Liga Perdana hanya akan dilangsungkan secara pusingan pertama sahaja.

Bekas pengendali Terengganu itu berkata, format baharu yang dikemukakan badan induk bolasepak negara itu tidak begitu sesuai terutama kepada pasukan bawahan liga kerana peluang mereka menyaingi dan memperbaiki kedudukan dalam carta liga agak tipis.

Selain itu katanya pemain juga sudah tentu tidak begitu gembira kerana tidak akan memberi kepuasan sebenar kepada mereka, begitu juga kepada pihak pengurusan pasukan.

Katanya, perjalanan liga juga sudah tentu tidak begitu meriah serta tiada saingan yang hebat dan kompetitif kerana pasukan hanya akan beraksi dengan baki tujuh perlawanan sahaja lagi sebelum mengetahui kedudukan sebenar pasukan masing-masing.

"Bagi saya tidak sesuai dan tidak adil terutama kepada pasukan yang berada di kelompok bawahan liga sama ada dalam saingan Liga Super atau Perdana seperti contoh pasukan PDRM yang bermula dengan pemotongan tiga mata.

"Kesannya pasukan yang berada di kelompok bawahan Liga Super sudah pasti mudah tersingkir ke Liga Perdana manakala pasukan Liga Perdana tersingkir ke Liga M3 kecuali tiada penyingkiran kali ini.

"Sepatutnya liga dilangsungkan seperti biasa iaitu dua pusingan, baru meriah dan adil manakala Piala Malaysia perlu dibatalkan bagi memberi laluan kepada liga.

"Keadaan ini bukan sahaja tidak meriah apatah lagi tanpa penonton, malah tidak memberi kepuasan kepada pemain selain pihak pengurusan yang sudah pasti membuat persiapan rapi sebelum liga bermula.

"Dengan liga tanpa penonton, pihak MFL seboleh-bolehnya perlu cuba menyiarkan perlawanan terpilih secara langsung bagi memastikan liga dapat disaksikan peminat berikutan penularan pandemik Covid-19 ini.

"Justeru saya harap MFL dapat memperhalusi semula cadangan berkenaan jika pandemik itu reda dan mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan demi pembangunan sukan itu," katanya.

Sebelum ini MFL mengumumkan akan menyambung semula Liga Super dan Liga Perdana selama sebulan tanpa penonton bermula 1 hingga 27 September 2020 manakala Piala Malaysia bermula 17 Oktober.

Bagaimanapun Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa 'dikorbankan' berikutan kesuntukan masa susulan negara berdepan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 8:20 PM