ZIYAD layak ke Paralimpik Tokyo.
ZIYAD layak ke Paralimpik Tokyo.
Aida Adilah Mat


JURULATIH kepada jaguh lontar peluru Ziyad Zolkefli, Mohamad Faizol Harun kini menunggu kebenaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum kembali merangka latihan buat atlet paralimpik negara itu.

Faizol berkata, hingga kini belum ada sebarang maklumat diterima daripada MSN biarpun dimaklumkan atlet berkemungkinan diberi kelonggaran menjalani latihan di padang bermula Jun ini.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang 'hitam putih' daripada pihak berwajib dan perlu menunggu lampu hijau sebelum menyusun semula jadual latihannya.

"Bukan Ziyad saja terkesan dengan penularan wabak Covid-19 ini, semua atlet turut sama terkesan.

"Tapi untuk Ziyad, tidak banyak sangat berubah dan dia mengikut program asal yang disusun untuknya. Cuma sekarang ini, saya berharap kejohanan tahun depan sudah boleh disusun kerana jika dibenarkan berlatih bermula Jun ini, masih ada lagi enam bulan sebelum tahun depan. Susah juga jika hanya berlatih saja tanpa ada pertandingan," katanya.

Mengulas mengenai pembatalan Sukan Para Asean, Faizol berkata, pembatalan itu tidaklah memberi kesan kepada Ziyad kerana ia hanya sebahagian daripada latihan untuk pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio dalam kategori F20 itu.

Ia kerana Ziyad bersama Latif Romly dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh) dan Muhammad Ridzuan Puzi sudahpun layak ke Paralimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:49 PM