Pemain pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli.
Pemain pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli.
Asrol Awang


PEMAIN pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli yang terlepas dua perlawanan terakhir Liga Super akibat kecederaan kini boleh menarik nafas lega.

Mohd Faisal, 29, berkata, kecederaan buku lali kanan yang dialami sudah pulih dan kini memulakan sesi latihan ringan dalam mempertingkatkan kembali stamina.

"Saya bersyukur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kecederaan yang dialami sembuh selepas hanya dapat bermain dua daripada empat perlawanan.

"Pelaksanaan PKP juga turut membantu saya untuk proses pemulihan kecederaan dan sebaik liga bersambung nanti, saya harap berada pada prestasi terbaik.

"Setakat ini, segalanya positif kerana hanya melakukan latihan ringan bagi mengelak kecederaan berulang," kata pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu.

Mohd Faisal atau Tocang mengalami kecederaan buku lali kanan ketika skuad Tok Gajah berdepan PJ City FC pada 6 Mac lalu.

Kecederaan itu menyaksikan Mohd Faisal terlepas dua perlawanan membabitkan perlawanan menentang Sabah dan Melaka United.

Mengulas posisi pertahanan, dia mengakui perlu mengembalikan prestasi terbaik jika mahu kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama.

"Dengan penangguhan liga dan baru pulih daripada kecederaan, saya harap tempoh untuk kembali cergas dapat dicapai sebelum liga bersambung nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 2:44 PM