Pemain Kedah, Kpah Sherman (depan) meraikan jaringan dalam perlawanan Liga Super. FOTO File NSTP
Pemain Kedah, Kpah Sherman (depan) meraikan jaringan dalam perlawanan Liga Super. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) bukan sahaja berdepan bebanan hutang ekoran tunggakan gaji pemain, malah skuad Lang Merah berhadapan hukuman penggantungan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Episod malang yang menimpa Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebelum ini dan terbaharu Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) mungkin berjangkit kepada KFA sekiranya isu tunggakan gaji pemain diheret ke pengetahuan Fifa oleh pemain importnya.

Malah, lesen kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) juga bakal terjejas seandainya laporan sama turut dibuat oleh tonggak tempatan berhubung tuntutan gaji mereka.

Peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid berkata, kegagalan pasukan menjelaskan tunggakan gaji sebenarnya jelas melanggar Artikel 13 Peraturan Status Dan Pemindahan Pemain Fifa di mana majikan tidak menghormati kontrak pemain.

Katanya, pemain boleh melakukan pembatalan kontrak sebelah pihak akibat tidak menerima gaji melebihi dua bulan dengan meninggalkan pasukan sambil menuntut pembayaran penuh pada baki kontrak terhadap pasukan.

Jelasnya, pemain mempunyai hak untuk mendapatkan gaji penuh hingga hujung musim meskipun tidak lagi turun berlatih atau beraksi bersama pasukan.

"Dalam kes pemain Kedah, kalau pemain dah hilang sabar sebab tak dapat gaji selama tiga bulan berturut-turut atau lebih, mereka boleh tamatkan kontrak dan bawa isu ini kepada Fifa dan FAM.

"Risiko yang bakal dihadapi oleh KFA, mereka boleh dikenakan arahan membayar penuh tunggakan gaji dan baki kontrak yang mungkin mencecah ratusan ribu atau jutaan jika dibuat secara beramai-ramai oleh pemain lama selain terpaksa membayar gaji pemain baharu gantian.

Cassio Francisco De Jesus (kanan) ketika beraksi bersama Kelantan. FOTO File NSTP
Cassio Francisco De Jesus (kanan) ketika beraksi bersama Kelantan. FOTO File NSTP

"Contoh seperti kes Cassio Francisco De Jesus bekas pemain Kelantan sekarang ini, Kafa diarahkan untuk membayar tunggakan dan baki kontrak walaupun hanya beraksi beberapa perlawanan sahaja.

"Fifa mengarahkan ia dibayar dengan jumlah yang banyak dan kalau tak dapat selesaikan Kafa boleh dikenakan hukuman lebih berat.

Jadi KFA perlu bertindak proaktif dengan segera selesaikan isu ini dengan bijaksana," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan pemain skuad Hijau Kuning mengeluh selepas tidak menerima gaji penuh sejak Februari lalu.

Malah, krisis politik di Kedah ketika ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan yang mahu tunggakan gaji diselesaikan segera oleh pasukan.

Berdasarkan status KFA, jawatan Presiden KFA biasanya akan diisi oleh Menteri Besar Kedah sekali gus timbul persoalan mengenai nasib pasukan sama ada akan mendapat pembelaan di bawah kepimpinan baharu kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 11:41 AM