AFP

MOTOGP Perancis yang sepatutnya berlangsung esok tetapi ditangguhkan susulan pandemik koronavirus mungkin dilangsungkan pada Oktober depan, menurut penganjur perlumbaan semalam.

"Kami akan terus berusaha memastikan Grand Prix Perancis 2020 dapat dianjurkan pada awal Oktober," kata Claude Michy dalam satu kenyataan.

"Pilihan ini perlu disahkan dalam masa beberapa minggu akan datang. Kami berharap situasi kesihatan semakin bertambah baik walaupun belum ada kepastian mengenai kelulusan penganjuran sukan berskala besar yang dihadiri ramai penonton."

Penganjur MotoGP, Dorna dan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) kini merombak jadual baharu musim 2020 yang mungkin bermula pada 19 Julai depan di Jerez, Sepanyol dengan perlumbaan berlangsung dalam litar tertutup selain jumlah krew yang berkurangan di paddock.

Penganjur merancang melangsungkan antara 10-12 perlumbaan di Eropah sebelum akhir November dan di luar Eropah selepas itu.

11 perlumbaan pertama MotoGP musim ini dibatalkan atau ditunda manakala kategori Moto2 dan Moto3 terhenti sejak saingan di Qatar pada Mac lalu.

Sebelum ini ketua MotoGP, Carmelo Ezpeleta berharap perlumbaan musim ini dapat dimulakan pada Julai selepas lapan perlumbaan awal terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

"Ketika ini kami sangat optimis untuk memulakan perlumbaan antara Julai dan November," kata Ezpeleta yang juga CEO serta promoter MotoGP Dorna kepada stesen penyiaran BT Sport.

"Kemungkinan kami akan dapat meneruskannya namun ia bergantung kepada situasi kerana perlu mengambil kira beberapa perkara lain," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 11:54 AM