PENJAGA gol Terengganu FC, Muhammad Ilham Amirullah Razali (atas tiga kanan) ketika mewakili pasukan Harimau Muda A. FOTO Ihsan Muhammad Ilham Amirullah Razali
PENJAGA gol Terengganu FC, Muhammad Ilham Amirullah Razali (atas tiga kanan) ketika mewakili pasukan Harimau Muda A. FOTO Ihsan Muhammad Ilham Amirullah Razali
Malik Muhamad


"SAYA begitu terharu dan terhutang budi dengan pengorbanan arwah Cikgu Mohd Azmy Zakaria yang sanggup datang ke rumah ibu bapa saya, jika tidak kerana arwah, mungkin saya tidak akan bergelar pemain bola sepak."

"Sempena sambutan Hari Guru semalam, saya rasa belum terlambat untuk mengucapkan terima kasih kepada semua guru terutama yang pernah mengajar saya," kata bekas penjaga gol Harimau Muda A, Muhammad Ilham Amirullah Razali atau lebih mesra dipanggil Ang.

Ilham, 26 yang kini bersama Terengganu FC (TFC) mengakui pengorbanan Cikgu Azmy begitu besar dan memberi makna yang cukup mendalam kepada dirinya lebih-lebih selepas bergelar pemain kebangsaan.

Katanya, kesanggupan arwah datang ke Kampung Rantau Panjang, Bukit Besi, Dungun yang jauh di pedalaman bagaikan menjentik hatinya terutama sambutan Hari Guru pada tahun ini jatuh pada bulan Ramadan.

"Cikgu Azmy sanggup datang ke kampung saya walaupun jauh di pedalaman untuk pujuk saya selain bagi yakinkan ibu bapa supaya mendaftar masuk ke Sekolah Sukan Bukit Nenas.

"Bagi saya, karier bola sepak saya bermula daripada detik itu dan berpunca daripada Cikgu Azmy yang datang jauh dari Setiu membuatkan saya terhutang budi dengan arwah.

"Jika bukan kerana arwah, saya rasa tidak bermain bola sekarang, hanya doa dapat dipanjatkan selepas arwah pergi buat selama-lamannya tujuh tahun lalu," kata Ilham yang mendapat tunjuk ajar daripada Cikgu Zainudin Zain ketika di sekolah berkenaan.

Mengimbas ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal, Dungun, Ilham juga turut terhutang budi dengan Cikgu Maliki Embong yang mencungkil bakatnya dan membantunya mewakili negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 11:45 PM