Firdaus Hashim

TONGGAK Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid bersedia sekiranya gol lencongan cantik yang dilakukan ketika menentang kelab dari China, Shandong Luneng di bawa ke anugerah lebih berprestij seperti Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi bersaing dengan ribuan gol di seluruh dunia.

Jelas Safawi, pengumuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menobatkan gol lencongannya sebagai pemenang penjaring gol lencongan terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 jelas menaikkan motivasi dirinya dan sedia untuk melakar lebih banyak kejayaan di masa depan.

Katanya, gol yang terhasil itu dilakukan cukup sukar dan bukan mudah untuk mana-mana pemain melepaskan rembatan lencong sambil diberi tekanan hingga menyebabkan dia hilang keseimbangan untuk melakukan sepakan.

"Saya tengok pesaing lain dalam anugerah ini juga gol mereka cantik di mana ada juga pertahanan lawan dekat depan, tetapi gol saya itu sebenarnya lebih sukar.

"Bukan saya nak puji ke apa gol saya sendiri, tapi saya buat sepakan lencong itu dalam keadaan ditolak oleh pihak lawan hingga saya out balance tetapi bola itu tetap pergi melencong tepat ke sasaran.

"Saya percaya peminat semua tahu bukan senang nak buat sepakan macam itu dan saya berterima kasih kepada penyokong yang mengundi. Terima kasih banyak-banyak, dan kalau nak bawa ke Puskas pun boleh juga.

"Sekurang-kurangnya kita cuba dan saya yakin gol saya itu ada kualiti tersendiri dan boleh cabar gol-gol lain. Kalau ada rezeki insya Allah tak ke mana," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Impian untuk melihat Safawi memenangi anugerah Puskas bukan sesuatu yang mustahil apabila sebelum ini pada 2017 menyaksikan Faiz Subri mengejutkan dunia dengan dinobatkan pemenang anugerah Puskas 2016 yang berlangsung di ibu pejabat Fifa di Zurich, Switzerland.

Sementara itu, berdasarkan undian peminat di laman web AFC yang ditutup lewat petang semalam, Safawi meraih 50 peratus daripada undian keseluruhan untuk mengumpul sebanyak 159,502 undi sekali gus mengatasi empat pencabar lain termasuk bekas bintang Chelsea, Oscar yang hanya menerima satu peratus.

Ditanya mengenai kejayaannya mengatasi Oscar yang beraksi bersama kelab Shanghai SIPG itu, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui terkejut dan langsung tidak mempercayai dengan kemenangan itu.

"Dulu dia (Oscar) adalah salah seorang idola saya sejak dia bermain untuk Brazil dan Chelsea saya selalu ikuti perkembangan kariernya.

"Jadi saya rasa amat bangga sebab ramai undi gol saya daripada dia dan ia secara tak langsung naikkan lagi motivasi saya tingkatkan permainan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 6:00 AM